Khamis, 23 November 2017 | 3:59pm
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad sewaktu hadir pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Indah Water Konsortium Sdn Bhd di Ibu Pejabat Indah Water Konsortium Damansara Heights. - Foto BERNAMA
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad sewaktu hadir pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Indah Water Konsortium Sdn Bhd di Ibu Pejabat Indah Water Konsortium Damansara Heights. - Foto BERNAMA

Gerakan anti-rasuah lepas sasaran 100,000 ahli

KUALA LUMPUR: Keahlian Sahabat Gerakan Revolusi Anti-Rasuah (GERAH) yang kini mencecah 125,000 orang di seluruh negara memberikan indikasi hasrat menjadikan gerakan antirasuah dan salah guna kuasa sebagai gerakan massa di Malaysia, boleh dicapai.

Ini kerana ia melebihi sasaran awal 100,000 keahlian sejak gerakan antirasuah itu dilancarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Ogos lalu, bagi menyeru masyarakat membenci dan menolak rasuah secara total dalam semua peringkat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata,membanteras rasuah dan salah guna kuasa bukan tugas eksklusif SPRM, sebaliknya tanggungjawab bersama rakyat dalam semua sektor, awam dan swasta.  

Katanya, keahlian Sahabat GERAH yang sebelum ini dibuka kepada mana-mana warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas, khususnya mahasiswa, akan diperluaskan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah pada tahun depan.

"Gerakan (Sahabat) ini tentunya akan menyalurkan maklumat atau membantu kepada SPRM, mereka ini jadi mata dan telinga SPRM. Saya percaya kita akan capai 150,000 keahlian menjelang hujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Indah Water Konsortium (IWK) di Ibu pejabat IWK di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi IWK, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Faizal Othman yang turut mengetuai bacaan ikrar bebas rasuah kira-kira 200 warga syarikat perkhidmatan pembentungan itu.

Mengulas mengenai IBR, Dzulkifli, berkata setakat ini lebih 700 organisasi dalam kementerian, kerajaan negeri, agensi kerajaan, jabatan awam dan swasta di seluruh negara menandatangani ikrar bebas rasuah dan penyalahgunaan kuasa itu sebagai bukti komitmen bersama.

"Kita berharap Kerajaan Negeri Selangor juga menandatangani ikrar bebas rasuah untuk tunjukkan komitmen bersama (menangani rasuah) seperti negeri lain," katanya menjelaskan Pulau Pinang dan Kelantan sudah menyatakan sokongan kepada IBR.

Terdahulu dalam ucapannya, Faizal menyifatkan majlis menandatangani ikrar bebas rasuah itu sebagai komitmen keseluruhan 3,400 kakitangan syarikat pembentungan itu yang bertanggungjawab kepada 24 juta pengguna di seluruh negara.

Berita Harian X