Selasa, 21 November 2017 | 7:08pm
PROF Datuk Razali Mahfar berucap ketika sesi meja bulat 'The World of Integration Revolution 4.0 in spear-heading scholarship of education' sempena GLU Management Forum 2017 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Wujud ekosistem sihat antara industri

PUTRAJAYA: Ekosistem sihat yang dibangunkan antara penggiat industri dan universiti penting bagi menjamin kelangsungan pendidikan tinggi negara dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

Ketua Pegawai Perunding, MYiLEAP Sdn Bhd, Prof Datuk Razali Mahfar, berkata kedua-dua entiti itu perlu memainkan peranan dan bekerjasama erat bagi memastikan pendidikan tinggi negara cukup bersedia menghadapi 'tsunami' revolusi perindustrian.

Katanya, universiti terutamanya perlu ada keterbukaan untuk menerima pengamal industri masuk kepada institusi mereka untuk perkongsian idea dan kepakaran sekali gus memanfaatkan kedua-dua pihak.

"Bagi pihak industri pula terutama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat multinasional (MNC) perlu merangka agenda jangka panjang iaitu lima atau 10 tahun ke depan mengenai portfolio perniagaan yang akan ke arah digital supaya universiti dapat menyediakan agenda, penyelidikan dan kurikulum program yang menepati kehendak penggiat industri.

"Jika ia tidak dilakukan, akan berlaku pertembungan yang mana universiti tidak dapat memenuhi kehendak industri, dan industri akan mengadu graduan tidak menepati kehendak mereka," katanya pada sesi meja bulat sempena Government Linked University (GLU) Forum 2017 di sini, hari ini.

Sesi meja bulat berkenaan dikendalikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud sebagai moderator.

GLU Management Forum 2017 adalah anjuran empat gabungan universiti di bawah Industry Driven Higher Education Alliance (IDEA) iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang dirasmikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.

Forum berkenaan membincangkan mengenai impak dan cabaran Revolusi Industri 4.0 terhadap pengajaran dan pembelajaran; penyelidikan dan inovasi serta pembangunan mahasiswa dalam peringkat pendidikan tinggi negara.

Sementara itu, pada sesi sama Ketua Pegawai Eksekutif, Akademi Sains Malaysia, Hazami Habib, berkata kajian akademi berkenaan mendapati bidang pertanian, pembuatan dan perdagangan runcit berpotensi tinggi untuk berubah ke arah digital dan boleh beroperasi secara automatik.

"Selain itu, menjelang 2025, dijangka robot berteknologi tinggi bukan saja akan mengambil alih 30 peratus pekerjaan yang dilakukan tenaga kerja manusia ketika ini, tetapi ia juga mewujudkan peranan baru untuk manusia," katanya.

Berita Harian X