Selasa, 21 November 2017 | 6:42pm
PENGASAS bersama Apple Inc, Steve Wozniak. - Foto Asyraf Hamzah
PENGASAS bersama Apple Inc, Steve Wozniak. - Foto Asyraf Hamzah

Kerajaan perlu sokong teknologi digital

KUCHING: Kerajaan perlu memainkan peranan sebagai penggalak dan menyokong mengembangkan pertumbuhan teknologi digital dalam negara.

Pengasas bersama Apple Inc, Steve Wozniak, berkata sesebuah negara juga perlu cuba menarik seramai mungkin bakat yang terbaik sama ada di rantau ini atau di dalam negara bagi bekerjasama membangunkan sesebuah teknologi.

Dari sudut pendidikan pula katanya, usaha perlu dilakukan bagi mengemaskini kurikulum pembelajaran pelajar dengan memperkenalkan mata pelajaran berkaitan teknologi digital.

"Antaranya ialah memasukkan pembelajaran berkaitan perisian, perkakasan, robotik dan kecerdasan buatan (AI) ke dalam kurikulum di sekolah rendah.

"Ini bagi memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran terkini supaya tidak ketinggalan dengan perkembangan atau pengenalan teknologi digital baharu pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi 'Face to Face' bersama Wozniak di Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-13, di sini, sebentar tadi.

Sesi selama lebih 90 minit itu dikendalikan oleh Pengasas bersama Newslab, Google, Amerika Syarikat, Daniel Sieberg yang menyentuh banyak perkara berkaitan gangguan teknologi masa kini.

Mengulas lanjut, Wozniak turut mencadangkan supaya diperkenalkan Ketua Pegawai Gangguan (Chief Disruption Officer) dalam syarikat bagi menangani masalah gangguan teknologi yang sedang berlaku ketika ini antaranya revolusi industri keempat, internet kebendaan (IoT) dan blockchain.

Katanya pegawai berkenaan tidak perlu melaporkan kepada lembaga pengurusan syarikat sebaliknya hanya menumpukan kepada usaha mengenalpasti gangguan yang berkemungkinan boleh berlaku dan menjejaskan syarikatnya.

Dalam pada itu, Wozniak meramalkan yang pembayaran mudah alih akan menggantikan wang tunai pada masa akan datang.

Ia kerana, kaedah pembayaran itu memudahkan urusan kehidupannya dan beliau percaya ia menjadi semakin mudah untuk digunakan pada masa depan.

"Tidak seperti sewaktu teknologi ini mula diperkenalkan, cara penggunaannya ketika itu agak leceh kerana memakan masa yang lama dan adalah lebih mudah menggunakan kad kredit.

"Namun, selepas Apple melancarkan Apple Pay, saya dapati lebih mudah untuk menggunakannya. Hanya perlu imbas cap jari pada butang telefon itu dan pembayaran anda sudah selesai," katanya.

Berita Harian X