Selasa, 21 November 2017 | 11:55am
ABANG Johari menyampaikan ucapan pada Majlis Pembukaan WIEF ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di Kuching, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah
ABANG Johari menyampaikan ucapan pada Majlis Pembukaan WIEF ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di Kuching, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

WIEF: Platform tarik pelaburan

KUCHING: Penganjuran Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-13 yang julung kalinya berlangsung di bandar raya ini, platform terbaik mempromosi negeri ini sebagai destinasi pelaburan dan perdagangan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata ia berikutan kedudukan strategik negeri ini di antara rantau timur dan barat.

"Sarawak dalam tempoh beberapa tahun ini sudah mampu memposisikan dirinya sebagai antara destinasi pelaburan menarik di rantau ASEAN.

"Ketika banyak negara lain di dunia berdepan ketegangan geopolitikal dan krisis kemanusiaan, Malaysia, khususnya Sarawak mampu mengekalkan keamanan dan keharmonian. Kestabilan ini menjadi pasak dalam membangunkan negeri ini.

"Sarawak juga dikurniakan dengan kekayaan sumber semula jadi, tanah pertanian, perikanan dan mineral. Tambahan, kami juga mempunyai infrastruktur dan utiliti yang moden dan serta kerajaan yang efisien dan mesra perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada Majlis Pembukaan WIEF ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini hari ini, yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Abang Johari ketika mengulas lanjut berkata, Sarawak juga mempunyai ramai tenaga kerja yang muda, produktif dan mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik.

Katanya, negeri itu mampu menyediakan pekerja muda yang berpendidikan, berkemahiran dan separa mahir bagi memenuhi suasana perniagaan berteknologi tinggi.

"Sarawak mempunyai suasana kerja selamat dan bersih. Taraf kehidupan juga sudah meningkat dengan ketara sejak dua dekad lalu dan pelabur asing serta keluarga mereka diberi jaminan kehidupan yang berkualiti tinggi.

"Dengan semua kemudahan dan kelengkapan moden, pengunjung dari luar negara tidak akan mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat serta budaya tempatan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam menekankan kepentingan memastikan sistem pendidikan selari dengan perubahan pantas yang berlaku di dunia.

Katanya, dasar atau strategi pendidikan yang tidak selari dengan perkembangan di dunia ketika ini, kesan jangka panjangnya boleh menyebabkan kemusnahan negara.

"Negara perlu bekerja keras bagi memastikan mereka dan rakyatnya tidak akan ketinggalan dengan perkembangan teknologi.

"Teknologi termasuk dalam ekonomi digital tidak boleh dianggap berjaya, sekiranya tidak mengutamakan pembangunan mampan," katanya.

Berita Harian X