Isnin, 20 November 2017 | 9:41pm
DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan (lima, kanan) bergambar dengan Pengerusi Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Tun Musa Hitam (empat, kanan) sempena Majlis Makan Malam Menyambut Ketibaan Delegasi WIEF -13 di Kuching malam ini. - Foto BERNAMA
DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan (lima, kanan) bergambar dengan Pengerusi Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Tun Musa Hitam (empat, kanan) sempena Majlis Makan Malam Menyambut Ketibaan Delegasi WIEF -13 di Kuching malam ini. - Foto BERNAMA

WIEF bebas isu politik, agama

KUCHING: Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-13 yang berlangsung di bandar raya ini meneruskan tradisi penganjurannya untuk tidak menyentuh isu berkaitan politik dan agama.

Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam, berkata persidangan lebih menumpukan kepada perbincangan perdagangan dan perniagaan, selaras matlamat penubuhan yayasan terbabit.

"Kita akan meneroka lebih banyak peluang perniagaan dengan memberi tumpuan kepada perkembangan ekonomi digital.

"Ia selaras dengan dasar kerajaan Sarawak yang memberi tumpuan kepada ekonomi digital untuk membangunkan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Menyambut Ketibaan Delegasi WIEF -13, di sini, malam ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Menteri Kewangan II negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh dan Setiausaha Agung Yayasan WIEF, Tan Sri Mohd Fuzi Abdul Razak.

Seramai 2,476 delegasi dari 75 negara mengesahkan penyertaan pada WIEF-13 yang berlangsung selama tiga hari hingga Khamis ini.

Kuching adalah lokasi kedua penganjuran WIEF-13 di luar Kuala Lumpur selepas Johor Bahru.

Musa berkata, pihaknya bersetuju menganjurkan WIEF di Kuching selepas jemputan daripada Abang Johari, ketika menghadiri WIEF di Jakarta, Indonesia tahun lalu.

Sementara itu, Abang Johari dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Awang Tengah yang juga Pengerusi Bersama WIEF-13 berkata, Sarawak menghargai kesudian Yayasan WIEF untuk memilih Kuching sebagai lokasi penganjuran persidangan kali ini.

"Sarawak bertuah menerima peserta serta penceramah antarabangsa untuk berkongsi idea dan pengalaman pada forum ini.

"Sarawak sedang menghadapi transformasi sosio ekonominya daripada negeri pertanian untuk berubah kepada pembangunan ekonomi baharu termasuk minyak dan gas, pertanian komersial, teknologi tinggi dan sektor perkhidmatan," katanya.

Berita Harian X