Sabtu, 18 November 2017 | 1:50pm
ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melepaskan peserta Larian Jantungku, Kesihatanku (My Jantung Run) di Taman Cabaran Presint 5, Putrajaya, pagi ini. - Foto BERNAMA
ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melepaskan peserta Larian Jantungku, Kesihatanku (My Jantung Run) di Taman Cabaran Presint 5, Putrajaya, pagi ini. - Foto BERNAMA

2,500 sertai My Jantung Run

PUTRAJAYA: Seramai 2,500 peserta menyertai Larian Jantungku, Kesihatanku (My Jantung Run) bagi memupuk kesedaran kepentingan amalan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Cabaran Presint 5 di sini, pagi ini.

Program anjuran Pertubuhan Profesional Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MOSHPA) itu, antara lain bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat menerusi aktiviti riadah, sekali gus menjaga kesihatan jantung.

Aktiviti lain yang turut diadakan adalah pemeriksaan kesihatan dan mata secara percuma, derma darah serta pameran dan jualan produk penjagaan kesihatan.

Larian itu mendapat tajaan bernilai RM70,000 daripada pelbagai pihak termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat), UDA Holdings Bhd dan Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

Presiden MOSHPA, Datuk Kanagaraja Raman, berkata penganjuran program itu bertujuan menyebar luas kepentingan menjaga kesihatan jantung yang menjadi organ utama untuk manusia meneruskan kehidupan.

"Ia diharap dapat mendidik masyarakat dari pelbagai peringkat dan latar belakang mengenai pengurusan kesihatan jantung sewaktu sihat dan kaedah rawatan serta penjagaan setelah disahkan sebagai pesakit jantung," katanya.

Beliau berkata, MOSHPA juga mendapat kelulusan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang mana peserta dari kalangan pegawai keselamatan akan mendapat lima mata di bawah Program Pendidikan Berterusan (CEP) anjuran JKKP.

"Ia bagi meningkatkan moral mereka untuk menekankan amalan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja," katanya.

Berita Harian X