X
Khamis, 9 November 2017 | 5:51pm
Rody Kristal tak pandai bercinta
Rody Kristal tak pandai bercinta

PROTON hantar jurutera, pengurusan kanan ke China

KUALA LUMPUR: PROTON menghantar 30 jurutera dan 200 pengurus kanan menjalani latihan transformasi meningkatkan kemahiran bersama rakan strategiknya, Zhejiang Geely Holding Group Co (Geely) di China.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, berkata langkah itu bagi mengembalikan zaman kegemilangan kereta buatan Malaysia berkenaan.

"Model kereta Geely dengan kaedah pemanduan sebelah kanan akan dibuat di Tanjung Malim selepas ini. Buat masa ini, model Geely menawarkan kaedah pemanduan di sebelah kiri.

"Geely adalah produk tempatan China, yang terkenal dan kita akan manfaatkan segala usaha itu," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN- Kota Tinggi) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad berkata, usaha sama PROTON dan Geely akan memanfaatkan vendornya yang mencecah hampir 230 syarikat dan pusat penyelidikan automatif di seluruh dunia.

Katanya, Geely turut menyasarkan peningkatan jualan PROTON kepada 500,000 unit setahun dalam masa 10 tahun.

"Tahun lalu, jualan PROTON adalah 72,000 unit. Kita jangkakan pasaran di China luas dengan anggaran 1.3 bilion pembeli," katanya.

Menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun), beliau berkata, kakitangan PROTON sedia ada tidak akan dibuang hasil kerjasama strategik berkenaan.

"Sebaliknya, ada perancangan menambah pekerja daripada 9,600 orang ketika ini kepada 20,000 orang dalam masa 10 tahun.

"Geely juga merancang menambah bilangan vendor PROTON di samping meningkatkan keupayaan vendor sedia ada bagi mengeluarkan produk yang lebih berkualiti," katanya.

Berita Harian X