Khamis, 9 November 2017 | 4:35pm
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah merasmikan Seminar Kesedaran Jenayah Pedofilia 2017 di Persada Johor, Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Pedofilia: Undang-undang tanpa kesedaran tiada guna

JOHOR BAHRU: Undang-undang sahaja masih tidak mencukupi untuk mengekang jenayah pedofilia tanpa kesedaran masyarakat terutama ibu bapa.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, bertitah, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pihak berkepentingan untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa berkaitan jenayah itu.

"Walaupun pada dasarnya akta dan mahkamah berkaitan Jenayah Seksual Kanak-kanak sudah diwujudkan, ia bukan jaminan untuk menghentikan jenayah pedofilia ini.

"Justeru, kesedaran menangani isu ini adalah lebih penting daripada menjatuhkan hukuman ke atas penjenayah.

"Kesedaran masyarakat berhubung jenayah pedofilia ini perlu sentiasa dipertingkatkan secara berterusan," titahnya ketika merasmikan Seminar Kesedaran Jenayah Pedofilia 2017 di Persada Johor di sini, hari ini.

Turut hadir EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Johor, Asiah Md Ariff dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Titahnya, pada hari ini sudah banyak maklumat dan pendedahan mengenai bahaya ancaman jenayah pedofilia yang dibincang dan dibahaskan oleh pelbagai pihak.

"Sama ada di atas platform program 'outreach' atau seminar seperti pada hari ini, isu berkaitan pedofilia juga banyak dibincangkan dengan lebih terperinci dan panjang lebar melalui pelbagai medium lain seperti media sosial, media elektronik, media cetak dan sebagainya.

"Isu ini perlu dibincang lebih banyak supaya golongan sasaran boleh didekati dan masyarakat perlu ada ilmu dan pencegahan ini kerana mangsa boleh jadi sesiapa saja termasuk ahli keluarga," titahnya.

Sementara itu, Asiah berkata isu jenayah pedofilia tidak lagi dianggap terpencil.

Beliau berkata Kerajaan Johor mengambil pelbagai inisiatif dan pendekatan melalui agensi berkaitan untuk mengekang isu terbabit bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

"Namun, semua usaha ini akan menjadi sia- sia sekiranya sikap sambil lewa terutama ibu bapa terhadap isu ini terjadi.

"Sebagai contoh, memuat naik (dalam talian) lokasi rumah, tempat percutian, sekolah anak dan aksi comel anak terutama anak perempuan bakal mengundang padah di kemudian hari.

"Tambahan dalam dunia tanpa sempadan hari ini membuka jalan begitu luas kepada golongan pedofil untuk memburu mangsanya," katanya.

Berita Harian X