Rabu, 8 November 2017 | 9:12pm
IMEJ radar terkini. - Foto laman web JMM
IMEJ radar terkini. - Foto laman web JMM

Cuaca buruk di utara Semenanjung

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) mengeluarkan amaran cuaca buruk di utara tanah air membabitkan beberapa daerah di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak.

Amaran itu dikeluarkan kira-kira jam 7 malam tadi menjangkakan ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang di Perlis; Kedah (Daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Pendang, Sik dan Baling); Pulau Pinang dan Perak (Daerah Kerian, Larut, Matang dan Selama serta Hulu Perak) dijangka berterusan sehingga lewat malam ini.

Sementara itu, mengikut ramalan seminggu yang dikeluarkan jabatan itu, Perlis akan mengalami ribut petir pada sebelah petang sehingga Jumaat ini manakala hujan lebat pada pagi dan malam sehingga Selasa depan (14 November).

Di Kedah pula, hujan lebat dan ribut petir dijangkakan pada sebelah petang dan malam sehingga Selasa manakala di Perak ribu petir diramalkan di sebelah petang dalam tempoh seminggu ini.

Di Pulau Pinang diramalkan hujan pada sebelah petang sehingga Jumaat ini manakala ribut petir dijangka sehingga Selasa ini.

Berita Harian X