Selasa, 7 November 2017 | 6:40pm

Sarawak siap sedia hos WIEF2017

PETRA JAYA: Sarawak sudah bersiap sedia menghoskan Forum Ekonomi Islam Sedunia 2017 (WIEF2017) yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada 21 hingga 23 November ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata semua persiapan berkaitan, terutama dari segi logistik dan keselamatan, siap diatur kerajaan negeri bagi penganjuran acara bertaraf dunia itu.

Beliau menjelaskan penganjuran forum ekonomi itu, yang pertama seumpamanya di bandar raya ini, bakal menyaksikan kehadiran ramai pemimpin dunia dan tokoh korporat antarabangsa.

Selain Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akan menyampaikan ucaptama pada forum berkenaan, turut mengesahkan kehadiran mereka ialah Presiden Joko Widodo dari Indonesia dan Presiden Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov.

Tidak ketinggalan seorang pengasas Apple Incorporated, Steve Wozniak, yang dijangka membentangkan kertas kerja berkaitan kelebihan ledakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam memperkukuhkan rangkaian perdagangan antarabangsa.

"Mewakili Kerajaan Sarawak, kita cukup berbangga apabila dipilih menjadi tuan rumah persidangan kali ini yang dilihat cukup berpotensi bagi mewujudkan satu platform ke arah mewujudkan jaringan perniagaan dan perdagangan lebih kukuh di peringkat global, khususnya dalam konteks dunia Islam.

"Ia juga selaras dengan komitmen berterusan kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg membangunkan ekonomi digital seiring dengan perkembangan semasa, terutama dengan adanya kemajuan ICT yang mewujudkan satu konsep dikenali sebagai 'dunia tanpa sempadan'," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur WIEF2017 berkata demikian pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, di sini petang tadi.

Hadir sama Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam.

Awang Tengah menjangka 2,200 peserta dari dalam dan luar negara, dengan sebahagian besarnya wakil komuniti perniagaan, menyertai forum kali ini yang turut memberi fokus terhadap usaha pengembangan industri halal di peringkat global.

"Industri halal mempunyai pasaran cukup meluas di peringkat global, merentasi beberapa benua, dengan penggunaan produk atau perkhidmatan disediakan tidak hanya bertumpu kepada umat Islam, tetapi juga masyarakat bukan Islam," katanya.

Sementara itu, Musa berkata, beliau mengagumi kepemimpinan negeri ini yang begitu komited dalam usaha pembangunan ekonomi digital, sekali gus membolehkan lebih banyak pasaran baharu diteroka bagi produk dan perkhidmatan disediakan.

"Inilah trend masa kini yang bergerak pantas seiring dengan kemajuan semasa. Kita lihat bagaimana di seluruh dunia, kemajuan ataupun kemundurannya nampaknya semakin diukur dari berbagai-bagai sudut. Yang popular sekali yang diminati oleh banyak negara ialah apa yang dikatakan ekonomi digital," katanya.

Berita Harian X