Isnin, 6 November 2017 | 8:47pm

Menteri ekonomi APEC bincang kukuhkan kerjasama inklusif

KUALA LUMPUR: Minggu mesyuarat menteri-menteri ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bermula hari ini di Danang, Vietnam dan akan berlanjutan sehingga Sabtu ini, sekali gus menyaksikan Vietnam buat kali keduanya memikul tanggungjawab sebagai tuan rumah untuk menilai kejayaan, membincang dan merangka bidang tugas baharu APEC bagi menghadapi era selepas berakhirnya tempoh Matlamat Bogor pada tahun 2020.

Tema APEC Vietnam 2017, Mewujudkan Kedinamikan Baharu, Mengukuhkan Perkongsian Masa Depan, mendapat maklum balas baik dan sokongan oleh 21 negara anggota APEC dan negara rakan.

Menurut kenyataan Sekretariat APEC, atas asas sudah mempromosikan kejayaan kerjasama APEC yang dilakukan, Vietnam sudah menetapkan empat keutamaan untuk dibincangkan, iaitu menggalakkan kemapanan, inovasi dan pertumbuhan inklusif; meningkatkan lagi integrasi ekonomi serantau; menguatkan daya saing syarikat mikro, kecil dan sederhana (MKS) serta inovasi era digital; dan mengukuhkan keselamatan makanan serta kelestarian bidang pertanian dalam mendepani perubahan cuaca dunia.

Tambahan pula, katanya, dalam memikul tugas sebagai pengerusi APEC, Vietnam mendapat sokongan kukuh daripada anggota APEC lain ketika mencadangkan banyak inisiatif penting, seperti mewujudkan mekanisme untuk membincangkan kerjasama jangka panjang APEC.

Ini termasuk, menubuhkan forum visi selepas tahun 2020, mengadakan dialog peringkat tinggi mengenai pembangunan sumber manusia, dialog pelbagai hala APEC ke arah 2020, khususnya bagi inisiatif menggalakkan inklusif dalam membangunkan ekonomi serantau, pertubuhan, dan kewangan.

"Inisiatif ini dijangka dapat menghubung-jalinkan program kerjasama tetap APEC yang membuahkan hasil melalui globalisasi dan liberalisasi perdagangan," katanya.

Malah, usaha ini dilihat dapat memenuhi kebimbangan negara anggota bagi memastikan rakyat dan masyarakat perdagangan mereka mengambil bahagian sepenuhnya dan berkongsi minat secara sama rata daripada pertumbuhan ekonomi dan kesalinghubungan dalam konteks memastikan jurang pembangunan dan peningkatan ketidaksaksamaan pelbagai perkara dalam kalangan negara anggota diatasi.

Katanya, inisiatif berkenaan memperakui tanggungjawab APEC yang praktikal dengan memenuhi harapan bersama semua negara anggotanya, sekali gus menyumbang untuk pewujudan komuniti APEC yang mapan dan inklusif.

Mengulas mengenainya, Timbalan Menteri Luar (1) Vietnam, Bui Thanh Son yang juga Pengerusi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) APEC 2017, berkata walaupun globalisasi dan liberalisasi perdagangan secara ketara meningkatkan pertumbuhan perdagangan global dan mengurangkan paras kemiskinan, namun ketidaksaksamaan ekonomi masih terus melebar,

"Trend yang muncul seperti Revolusi Perindustrian 4.0 dan teknologi digital membuka peluang seluas-luasnya, namun masih ada kebimbangan mengenai teknologi digital ini.

"Ramai yang ketinggalan daripada perlumbaan dalam mendapat peluang pekerjaan dan perniagaan. Sebahagian populasi, sebilangan kecil orang dan perusahaan tidak dapat mengikuti proses integrasi ini yang menyebabkan mereka ketinggalan," katanya.

Malah, katanya, kerjasama inklusif dalam kalangan negara APEC masih tidak teratur dan kurang penyelarasan. APEC masih belum mempunyai dasar yang komprehensif untuk menggalakkan ekonomi, kewangan dan inklusif sosial, sedangkan tiga bidang ini saling bergantung dan memenuhi keperluan satu sama lain," katanya.

Berita Harian X