Ahad, 5 November 2017 | 12:58am
Putera Charles menziarahi 'Commonwealth War Graves Commission' hari ini. Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Putera Charles dan isteri dalam lawatan rasmi selama enam hari ke Malaysia turut melibatkan lawatan ke beberapa negeri.
- Foto BERNAMA
Putera Charles menziarahi 'Commonwealth War Graves Commission' hari ini. Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Putera Charles dan isteri dalam lawatan rasmi selama enam hari ke Malaysia turut melibatkan lawatan ke beberapa negeri.
- Foto BERNAMA

Perak pulihara Taman Negeri Royal Belum

GERIK: Kerajaan Perak akan melaksanakan lima inisiatif untuk memulihara Taman Negeri Royal Belum di sini, dalam usaha mengekalkan pemuliharaan pembangunan alam sekitar termasuk menjadikan Kompleks Hutan Belum, sebagai kawasan penempatan utama harimau di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kerajaan negeri juga akan memastikan jaringan hubungan kompleks itu dengan landskap Taman Negara yang lebih baik melalui rangkaian saling berkaitan dengan kawasan hutan dilindungi, hutan simpan dan koridor untuk survival jangka panjang harimau di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memastikan Taman Negeri Royal Belum dan kawasan sekitar Hutan Simpan Kekal dikendalikan dengan mapan untuk pemuliharaan harimau dengan menempatkan sekurang-kurangnya tiga anggota penguatkuasa bagi setiap 10,000 hektar serta memperoleh akreditasi Pemuliharaan Standard Harimau (CATS) untuk Taman Negeri Royal Belum.

"Kita juga ingin menubuhkan Pasukan Tindakan Khas yang serba lengkap bagi mencapai sifar pemburuan haram di Belum menjelang 2020.

"Selain itu, kerajaan negeri juga akan membantu meningkatkan dana sehingga RM100 juta menjelang 2025 bagi pemuliharaan harimau di Malaysia," katanya dalam Deklarasi Royal Belum pada Sidang Kemuncak Pemuliharaan WWF di sini.

Putera Charles, Prince of Wales, dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, masing-masing berangkat ke taklimat mengenai sidang kemuncak tersebut.

Zambry berkata, kerajaan negeri juga berjanji akan bekerjasama rapat dengan semua entiti termasuk sektor swasta, orang ramai, rakyat Malaysia yang prihatin, bersama-sama dengan kerajaan, organisasi dan aktivis pemuliharaan dari seluruh dunia bagi memastikan aspirasi Perak itu menjadi kenyataan.

"Kami menyokong pernyataan dibuat Duli Yang Teramat Mulia (Putera Charles) bahawa tugas paling sukar adalah mengubah komitmen seperti dibuat pada tahap sangat tinggi kepada tindakan di lapangan.

"Tiada erti mengalah, jika kita mahu menyelamatkan spesis terancam yang bukan sahaja merugikan kita semua, tetapi juga mendedahkan habitat ditinggalkan haiwan itu kepada risiko kemusnahan lebih besar, yang boleh mengancam kepada manusia," katanya.

Kunjungan Putera Charles dan isteri baginda Camilla, Duchess of Cornwall, ke negara ini adalah sebahagian daripada rangka lawatan 11 hari pasangan diraja itu ke Singapura, Malaysia dan India dari 30 Oktober hingga 9 November.

Kerabat diraja British yang pernah melawat Malaysia sebelum ini ialah Ratu Elizabeth II dan Duke of Edinburgh bagi menghadiri upacara perasmian Sukan Komanwel Ke-16 di Kuala Lumpur pada 1998 dan Putera William, Duke of Cambridge dan isteri Kate Middleton, Duchess of Cambridge, pada September 2012. - BERNAMA

Berita Harian X