Jumaat, 3 November 2017 | 3:53pm
IMAM Besar Masjid Al-Aqsa, Palestin, Sheikh Dr Ekrima Sa'ed Sabri melancarkan Yayasan MyAQSA di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. - Foto Abd Rahim Rahmat

Bantuan Malaysia membebaskan Masjid Al-Aqsa dihargai

PUTRAJAYA: Malaysia bukan negara asing lagi dalam menyalurkan pelbagai bantuan termasuk dari segi tekanan politik untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa daripada terus dikuasai regim Zionis.

Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Palestin, Sheikh Dr Ekrima Sa'ed Sabri, berkata Al-Aqsa adalah amanah kepada semua umat Islam di dunia, dan nama Malaysia bukan lagi asing di bumi Baitulmaqdis, kerana ia antara negara yang sering menghantar pelbagai bentuk bantuan kepada penduduk di sana.

"Lihat sahaja dalam pasport Malaysia, ia tidak sah atau tidak boleh digunakan apabila individu itu berada di Israel.

"Ini antara usaha berterusan kerajaan Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk politik untuk membantu membebaskan Masjid Al-Aqsa daripada genggaman rejim Zionis," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Pelancaran Yayasan MyAQSA di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MyAQSA, Noorazman Mohd Samsuddin.

Sheikh Ekrima berkata, setiap umat Islam berperanan untuk membebaskan Al-Aqsa sama ada pada peringkat individu, kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO).

"Al-Aqsa berada dalam hati umat Islam dan ia adalah satu bentuk akidah yang perlu wujud dalam diri masing-masing kerana Masjid Al-Aqsa adalah salah satu urusan penting kepada umat islam seperti mana pentingnya Masjidil Haram dan Nabawi.

"Baitulmaqdis memerlukan bantuan daripada pelbagai yayasan atau NGO yang ada, kami harap segala usaha kehadiran Yayasan MyAQSA ini juga akan memperkuatkan lagi semangat umat Islam di Palestin.

"Selain itu, kami juga sentiasa mengharapkan bantuan Malaysia sama ada bentuk material dan semangat atau perkara lain yang boleh difikirkan untuk rakyat Palestin," katanya.

Sementara itu, Noorazman berkata, Yayasan MyAQSA akan menjadi pentas bagi menyatupadukan pelbagai pihak untuk bersama-sama melaksanakan agenda pembebasan Al-Aqsa.

"Kita akan membina hubungan dan kerjasama strategik dengan semua pertubuhan kerajaan dan NGO dalam kerangka membebaskan Masjid Al-Aqsa.

"Pelbagai langkah akan dibincangkan untuk terus memberi sokongan dan pelbagai bantuan kepada umat Islam di Palestin," katanya.

Berita Harian X