Jumaat, 3 November 2017 | 12:50pm

Putera Charles kagum dengan kekayaan warisan negara

KUALA LUMPUR: Pewaris takhta Britain, Putera Charles memulakan lawatan sulung ke Malaysia hari ini dengan menzahirkan kekaguman baginda terhadap kekayaan budaya warisan dan kepelbagaian kaum di negara ini.

"Saya harus mengatakan bahawa saya sentiasa terpesona dengan kekayaan budaya, agama dan kepelbagaian kaum di Malaysia, ...jika saya berkata demikian, ia sesuatu yang perlu dihargai dan diraikan," kata Putera Wales itu pada majlis resepsi yang dihoskan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

"Saya tidak dapat bayangkan betapa gembiranya saya berada di Malaysia buat kali pertama dan pada waktu sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Malaysia," katanya pada majlis rasmi pertama sempena lawatan seminggu bersama isteri, Camillia, Duchess of Cornwall.

Baginda berdua tiba di ibu negara semalam bagi lawatan rasmi ke Malaysia, antara destinasi baginda dalam Jelajah Musim Luruh Diraja.

Majis resepsi itu diadakan di Muzium Kesenian Islam, berhampiran dengan Masjid Negara di sini.

Dalam ucapannya, Putera Charles bertitah bahawa tetamu pada majlis itu mewakili pelbagai kumpulan agama di Malaysia dan masyarakat sivilnya yang bersemangat boleh memainkan peranan penting dalam memupuk persefahaman antara pelbagai masyarakat di negara ini.

Aturan majlis resepsi tidak mungkin lebih sesuai lagi, titahnya, dengan menggambarkan Muzium Kesenian Islam Malaysia sebagai sambutan indah kehebatan pelbagai tradisi kesenian Islam dan kekayaan pelbagai pengaruh yang membentuknya selama berabad-abad.

"Khususnya beta gembira kerana muzium ini mempunyai hubungan akrab dengan Sekolah Kesenian Tradisional beta yang bertujuan memastikan kesinambungan kesenian dan kemahiran tradisional dapat terus memperkayakan dunia yang berubah ini.

"Terutama apabila anda memikirkan bahawa banyak amalan tradisi dan bentuk kesenian tradisional dunia sudah pun dimusnahkan," titah baginda.

Pada lawatan selama 90 minit itu, Putera Charles diiringi oleh Sultan Nazrin, melawat galeri-galeri, antara tumpuan, Galeri Seni Bina Islam, al-Quran dan Galeri Manuskrip serta Bilik Uthmaniyyah yang disusun semula dari sebuah bilik Syria Uthmaniyyah sejak awal abad ke-19.

Putera Charles turut menghadiahkan muzium itu dengan cenderahati bingkai dalam bentuk nama baginda ditulis dalam aksara Arab dan dihasilkan oleh baginda sendiri.

Mengulas mengenai Sekolah Kesenian Tradisional, baginda bertitah objektif sekolah itu adalah mengusahakan penyelesaian praktikal bagi menangani ancaman kemusnahan tradisi dan bentuk kesenian tradisional dunia.

Penyelesaian utama, titah baginda, adalah pengajaran dan penggalakkan amalan kesenian dan kraf ini termasuk dalam kalangan pelajar daripada pelbagai latar belakang budaya dari seluruh dunia yang menghadiri sekolah itu.

"Oleh itu, sekolah itu adalah unik untuk memupuk pemahaman dan toleransi antara budaya, membantu menjalin hubungan dan menggalakkan pengiktirafan nilai-nilai bersama yang dipegang oleh semua, " titah Putera Charles.

Beralih semula ke venue resepsi, baginda bertitah, muzium itu berfungsi sebagai peringatan betapa pentingnya masyarakat dapat memelihara dan bangga dengan warisan budaya masing-masing.

"Atas sebab itu, beta bangga untuk memulakan lawatan ke Malaysia di muzium yang hebat ini bersama anda semua pagi ini," titahnya.

Selain Kuala Lumpur, pasangan diraja itu dijadual melakukan lawatan ke beberapa lokasi di Perak, Sarawak dan Pulau Pinang serta menyertai beberapa program penting sempena lawatan itu hingga 8 November ini.

Hari ini, baginda berdua akan menghadap Yang-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara serta menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Kerabat diraja Britain yang pernah melawat Malaysia sebelum ini ialah Ratu Elizabeth II dan Duke of Edinburgh bagi menghadiri upacara perasmian Sukan Komanwel Ke-16 di Kuala Lumpur pada 1998 dan Putera William, Duke of Cambridge dan isteri Kate Middleton, Duchess of Cambridge, pada September 2012. - BERNAMA

SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah bersama Putera Charles ketika lawatan di Muzium Kesenian Islam Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA
SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah bersama Putera Charles ketika lawatan di Muzium Kesenian Islam Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengiringi Putera Charles melawat pameran di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengiringi Putera Charles melawat pameran di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan menyampaikan cenderamata kepada Putera Charles di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur sempena lawatan rasmi pertama pewaris takhta Britain itu ke Malaysia bermula hari ini . - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan menyampaikan cenderamata kepada Putera Charles di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur sempena lawatan rasmi pertama pewaris takhta Britain itu ke Malaysia bermula hari ini . - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X