Rabu, 1 November 2017 | 7:07pm
SUKARELAWAN sosial Islam, Mohd Khariri Mohd Ramli. - Foto Rosela Ismail
SUKARELAWAN sosial Islam, Mohd Khariri Mohd Ramli. - Foto Rosela Ismail

Persepsi negatif jauhkan mak nyah dari jabatan agama

BANGI: Jabatan agama dan pegawainya disarankan lebih aktif turun padang untuk mendekati komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), sekali gus mengikis persepsi negatif.

Bekas mak nyah yang juga sukarelawan sosial Islam, Mohd Khariri Mohd Ramli, berkata ia bertujuan mengikis persepsi golongan yang beranggapan institusi agama hanya melakukan kerja penguatkuasaan dan membabitkan tangkapan.

Beliau berkata, ia akan mendorong kelompok itu menjauhkan diri daripada institusi agama kerana bimbang risiko ditangkap pihak berkuasa.

Katanya, apa yang menyedihkan banyak program kesedaran dianjurkan institusi agama tetapi menerima sambutan dingin.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) umpamanya banyak menjalankan program untuk komuniti LGBT dan pengisiannya sangat menarik serta memberi kesan yang amat positif kepada golongan mak nyah.

"Apa yang kurang memberangsangkan apabila program sebegini tidak sampai kepada pengetahuan mereka, tidak kurang juga ada menyampaikan spekulasi berbaur negatif seakan-akan satu paksaan untuk mereka berubah menjadi lelaki sejati.

"Ia tidak benar kerana pengisiannya penuh dengan elemen kasih sayang, mengajar solat dan mengenal Allah SWT," katanya pada Konvensyen Pegawai Runding Cara dan Fasililator Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) Peringkat Kebangsaan 2017 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini, hari ini.

Mohd Khariri berkata, kebanyakan program anjuran JAKIM untuk golongan mak nyah juga memberi kebebasan untuk mereka hadir dengan berpakaian wanita asalkan tidak mencolok mata.

Beliau turut menyarankan jabatan agama islam negeri menjalankan sinergi dan menggunakan teknik memujuk bagi mengubah persepsi negatif mereka terhadap institusi agama.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, Bukhari Md Akhir, berkata pihaknya komited menangani masalah sosial dalam kalangan umat Islam di negara ini dengan memberi penekanan kepada kesedaran kerohanian.

"Melalui Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), JAKIM melaksanakan program penyantunan dalam bentuk perawatan dan pemulihan kepada kumpulan sasaran termasuk penagih dadah, LGBT dan remaja yang terbabit dengan kes juvana.

"Kami turut melatih sukarelawan menerusi program latihan dengan tujuan meningkatkan pembabitan masyarakat untuk bertindak sebagai agen perubahan sosial," katanya.

Bukhari berkata, setakat ini, lebih 900 sukarelawan Islam yang berdaftar dan mengikuti program latihan anjuran JAKIM.

Berita Harian X