Jumaat, 27 Oktober 2017 | 9:56pm
KETUA Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim . - Foto Hairul Anuar Rahim
KETUA Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim . - Foto Hairul Anuar Rahim

RM1b rancak pelaburan 5 koridor - IRDA

JOHOR BAHRU: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menyifatkan peruntukan RM1 bilion untuk lima koridor ekonomi yang diumumkan dalam Bajet 2018 akan merancakkan lagi pelaburan, perdagangan dan industri.

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim, berkata Bajet 2018 yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan memakmurkan ekonomi yang inklusif itu juga adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia dan akan terus menyokong dan mengukuhkan kesinambungan pembangunan wilayah itu.

Katanya, penyediaan infrastruktur pengangkutan awam seperti Iskandar Malaysia Bas Rapid Transit (IMBRT) dan Rapid Transit System (RTS) di Iskandar Malaysia yang dijangka siap dalam beberapa tahun lagi adalah sejajar dengan fokus kerajaan untuk menyediakan penghubung lebih cepat dan selamat.

"Projek IMBRT adalah kritikal untuk Iskandar Malaysia kerana ia bukan sahaja mampu menangani masalah kesesakan jalan raya, malah akan memberikan kesalinghubungan yang baik kepada pengguna di dalam dan luar Iskandar Malaysia.

"Kami ingin mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas pengumuman Bajet 2018 yang bakal manfaatkan rakyat dan perniagaan dalam pelbagai sektor seperti pengangkutan awam, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pelancongan, kesihatan, pendidikan, dan lain-lain lagi di Malaysia, secara amnya dan di Iskandar Malaysia, secara khususnya.

"Menerusi peruntukan melebihi RM10 bilion untuk PKS, IRDA dapat melaksanakan pembangunan modal insan di Wilayah Iskandar Malaysia melalui program seperti Iskandar Malaysia Employment Grant (IMEG) dan program Iskandar Malaysia Professional Fund (IMProf) untuk membantu PKS dalam penyediaan tenaga kerja berkemahiran," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ismail berkata, Iskandar Malaysia turut menyokong sasaran kerajaan untuk mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan menjelang 2020 dengan mensasarkan mewujudkan 817,500 peluang pekerjaan di wilayah itu menjelang 2025.

"Ini adalah sejajar dengan dasar kerajaan Johor dalam memastikan penyertaan rakyat secara inklusif dan corak pembangunan lebih mampan di negeri ini dengan kemampuan menyediakan peluang pekerjaan untuk manfaat Rakyat pada keseluruhannya.

"Ini juga selaras dengan sasaran bagi mencapai 45 peratus pekerja berkemahiran dan berpengetahuan di Iskandar Malaysia menjelang 2025. Malah, langkah ini juga menyokong usaha kerajaan untuk mencapai sasaran 35 peratus pekerja berkemahiran dan berpengetahuan di peringkat nasional seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-11," katanya.

Katanya, satu daripada tunjang Bajet 2018 adalah untuk merancak pelaburan, perdagangan dan industri di mana jumlah pelaburan dalam negara dijangka meningkat kepada 6.7% pada tahun 2018.

"Dalam hal ini, Iskandar Malaysia sudah berjaya menarik pelaburan komited bernilai RM242 bilion (2006 hingga Ogos 2017) dengan sokongan kuat daripada agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri," tambahnya.

Berita Harian X