Jumaat, 27 Oktober 2017 | 6:43pm
HOSPITAL Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Naik taraf kardiologi HSNZ mudahkan pesakit jantung

KUALA TERENGGANU: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menaik taraf perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, dalam Bajet 2018, disifatkan sesuatu yang sangat ditunggu-tunggu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar, berkata ini kerana langkah menaik taraf perkhidmatan berkenaan dapat mengurangkan kesesakan rawatan untuk pesakit jantung di negeri ini.

Beliau berkata, HSNZ sudah memiliki Unit Kardiologi sejak 2010 dengan dua pakar bagi membolehkan kes rawatan jantung sepeti angioplasti dan 'stensing' dapat dibuat terus di institusi perubatan itu tanpa perlu ke Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara.

Bagaimanapun, beliau berkata HSNZ tidak mempunyai kemudahan seperti wad kardiologi dan wad pemulihan jantung lengkap serta moden.

"Justeru, kes yang memerlukan rawatan kardiologi khas, pemulihan jantung dan wad kritikal jantung sangat terhad sehingga pesakit terpaksa berhimpit, selain memanjangkan masa menunggu.

"Alhamdulillah, dengan pengumuman Perdana Menteri hari ini, ia dapat memberi faedah dan manfaat kepada pesakit jantung di negeri ini yang semakin meningkat saban tahun," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Mohammad berkata, ini adalah masa sesuai untuk menaik taraf HSNZ untuk menampung pesakit jantung di negeri ini.

"Sejak 1985 lagi HSNZ hanya memiliki empat katil pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) berhubung kes jantung, begitu juga dengan wad pemulihan yang hanya menempatkan 16 katil. 

"Penaiktarafan ini dijangka membabitkan penambahan bilangan katil dan peralatan moden untuk pesakit," katanya.

Berita Harian X