Jumaat, 27 Oktober 2017 | 5:03pm
MAHATHIR Hassan menonton pembentangan Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara langsung di sebuah kedai elektrik di Jalan Simpang Kuala. - Foto Amran Hamid
MAHATHIR Hassan menonton pembentangan Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara langsung di sebuah kedai elektrik di Jalan Simpang Kuala. - Foto Amran Hamid

Pembangunan berasaskan Maqasid Syariah - PM

KUALA LUMPUR: Bajet 2018 adalah pelonjak kepada pembikinan negara bangsa Malaysia untuk 30 tahun mendatang, yang dicorakkan semula berasaskan kerangka Maqasid Syariah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sejak meraih kemerdekaan, negara bertuah kerana pemimpin terdahulu menyulam manik azimat Maqasid Syariah, yang mementingkan lima aspek iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta dalam setiap dasar dan perancangan kerajaan.

"Kerangka ini dengan jelas difirmankan Allah dalam surah al-Mumtahanah, ayat 12 mengenai kepentingan menjaga kemaslahatan dharuriyat, yakni keperluan asas paling utama, sesuatu yang tidak boleh tidak tanpanya untuk kita rakyat meneruskan hidup.

"Hadis riwayat Ahmad, hajiyyat pula berkaitan perkara yang diperlukan manusia bagi kemudahan untuk tidak berlaku kesempitan yang membawa kepada kesulitan dan kesukaran hidup.

"Ketiganya, keperluan kepada tahsiniyyat, hanya sekadar menjadi penghias bersifat pengindah semata-mata untuk kesempurnaan hidup," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sejak enam dekad lalu, kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah menjalankan usaha dengan ilham oleh Allah SWT kepada pemimpin negara supaya kerangka Maqasid Syariah terus padu dari semasa ke semasa.

"Ia diperkuatkan lagi dengan falsafah seperti Perlembagaan Persekutuan, ideologi kebangsaan Rukun Negara, Prinsip Wasatiyyah, Falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan dan terkini, Aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Kesinambungan ini menunjukkan pucuk pimpinan kerajaan zaman-berzaman yang menolak fahaman ekstremisme, tidak berfikiran terlalu liberal, apatah lagi mengamalkan sistem ala Taliban," katanya.

Beliau berkata, kerajaan menyusun dasar dan strategi negara berlandaskan roh kerangka Maqasid Syariah dari semasa ke semasa.

"Kerangka ini tidak tertulis atau termaktub secara rasmi dalam mana-mana dokumen kerajaan tetapi secara berhemah amalan dan praktisnya terzahir menerusi falsafah dan dasar negara yang bersambung-sambung.

"Ia sebenarnya manhaj Maqasid Syariah yang dipegang oleh kerajaan dan menyasarkannya untuk kepentingan umum," katanya.

Berita Harian X