Jumaat, 20 Oktober 2017 | 12:33pm
PENGERUSI Pertubuhan Nadi Sihat Datuk Ismail Kijo bergambar bersama 28 peserta Road to Annapurna Base Camp (R2ABC) bermula 20 Oktober hingga 2 November di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). - Foto Aisyah Sukaimi
PENGERUSI Pertubuhan Nadi Sihat Datuk Ismail Kijo bergambar bersama 28 peserta Road to Annapurna Base Camp (R2ABC) bermula 20 Oktober hingga 2 November di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). - Foto Aisyah Sukaimi

Misi 28 ahli Pertubuhan Nadi Sihat tawan ABC, Nepal

SEPANG: Selepas beberapa kali menawan puncak gunung di Malaysia, Pertubuhan Nadi Sihat hari ini mengorak langkah untuk misi menawan Annapurna Base Camp (ABC) setinggi 4,130 meter di Nepal.

Seramai 28 ahli pertubuhan itu menyertai ekspedisi Road to Annapurna Base Camp (R2ABC) itu yang dijadualkan memulakan pendakian Ahad ini, diketuai Ahli Kehormat pertubuhan, Mohd Faizal Shamsudin.

Pengerusi Pertubuhan Nadi Sihat, Datuk Ismail Kijo, berkata kesemua peserta yang dihantar mempunyai banyak pengalaman dalam pendakian dan akan meneruskan kelangsungan objektif pertubuhan itu untuk mempromosi gaya hidup sihat.

"Selain mendaki gunung, kita juga menganjurkan program lain seperti berbasikal dalam Jelajah Semarak Sukan SEA ke-29 baru-baru ini. Kita sudah tiga kali menawan puncak Gunung Kinabalu dan kali ini, kita berharap akan menawan ABC yang amat mencabar.

"Kita akan terus menganjurkan program seperti ini yang diminati anak muda, yang bukan saja menerapkan nilai positif dalam kalangan peserta malah mengupas kemahiran kendiri serta ketajaman mental peserta," katanya. 

Beliau ditemui ketika hadir menghantar pasukan ekspedisi R2ABC berangkat ke Nepal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, pagi ini.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Hisham Jalil. 

Sementara itu, Mohd Faizal berkata, ekspedisi selama 14 hari itu istimewa kerana disertai 14 peserta protege Pertubuhan Nadi Sihat yang dilahirkan melalui program Zero to Hero. 

"Kita membuat persediaan dengan melakukan pendakian dua minggu sekali. Ini bagi memastikan peserta bersedia berhadapan pelbagai cabaran ketika melakukan pendakian sejauh 120 kilometer itu, dengan suhu yang dijangka mencecah -10 darjah Celsius," katanya. 

Salah seorang ahli Pertubuhan Nadi Sihat yang kurang upaya, Muhamed Nazmi Muhamed Hanafi, 24, berkata beliau teruja untuk menyertai ekspedisi berkenaan bagi mencabar keupayaan diri dan tidak mahu menjadikan kehilangan sebelah kakinya sebagai satu halangan.

"Saya sudah mula minat mendaki sejak berusia 17 tahun. Selepas hilang upaya akibat terbabit kemalangan jalan raya kira-kira lima tahun lalu, saya nekad untuk meneruskan aktiviti ini dan sudah melakukan banyak pendakian di Malaysia," katanya.

Berita Harian X