Khamis, 19 Oktober 2017 | 9:28pm

MetMalaysia nafi Taufan Lan landa Sabah, Labuan.

KUALA LUMPUR : Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini, tampil menafikan dakwaan Taufan Lan akan melanda Sabah seperti yang viral menerusi media sosial ketika ini.

Ketua Pengarahnya, Alui Bahari, berkata orang ramai diingatkan untuk tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan menerusi media sosial tanpa mendapatkan pengesahan METMalaysia.

"Untuk makluman, Taufan Lan yang pada ketika ini berada di timur Filipina dijangka bergerak ke arah utara, dan semakin menjauhi rantau Malaysia menuju ke Jepun.

"Kesan sampingan taufan ini telah menyebabkan cuaca lembap berserta angin kencang di barat dan utara Sabah serta Labuan bermula Selasa lalu hingga Sabtu ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan memantau dan membuat pemeriksaan maklumat sahih daripada laman sesawang rasmi MetMalaysia,www.met.gov.my.

Orang ramai juga boleh memeriksa amaran cuaca daripada aplikasi mobil myCuaca, atau melayari Facebook: Malaysiamet atau Twitter: @malaysianmet atau menghubungi MetMalaysia Hotline di talian 1300221638.

Sementara itu, MetMalaysia mengesan gempa bumi sederhana 5.9 magnitud di Tenggara Pulau Ryukyu, Jepun dan kira-kira 2,815 kilometer (km) Timur Laut Kudat, Sabah pada 5.02 petang tadi.

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami.

MetMalaysia berkata, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori dua, membabitkan angin kencang sehingga 50 hingga 60 kmsj dan ombak sehingga 4.5 meter dijangka berterusan di perairan Kudat, Sabah sehingga Sabtu ini.

Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dijangka menggegarkan perairan Labuan, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Sandakan) hingga Sabtu ini.

"Amaran ribut petir kategori kedua dijangka melanda perairan Sulu hingga Sabtu ini. Keadaan angin kencang dan laut bergelora berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan, perkhidmatan feri serta aktiviti nelayan termasuk tangkapan ikan," katanya.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran cuaca buruk peringkat kuning dengan jangkaan hujan lebat berterusan dan angin kencang sehingga Sabtu ini, di Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat), Labuan dan Limbang, Sarawak.

Berita Harian X