Isnin, 16 Oktober 2017 | 6:02pm
SETIAUSAHA Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Ismail (dua dari kiri) dan Naib canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA), Profesor Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abd Latif (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian sambil disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin (kiri) dan Dekan Fakuliti Ekonomi dan Sains Pengurusan, Profesor Dr Ahmad Syukri Yazid (kanan) pada majlis memorandum Perjanjian Persefahaman (MOU) antara pejabat SUK dan UNiSZA di Wisma Darul Iman, hari ini. - Foto Baharom Bakar

3 pegawai kerajaan cemerlang ditaja lanjut PhD

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan menaja sepenuhnya tiga dari 21 pegawai tadbirnya yang memperoleh keputusan cemerlang di peringkat ijazah sarjana untuk melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti luar negara.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Ismail, berkata seramai 21 pegawai tadbir dipilih untuk mengikuti program peningkatan profesional dalam bidang Pentadbiran Perniagaan yang dikendalikan pensyarah dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA).

Katanya, pegawai tadbir kerajaan negeri itu terpilih mengikuti pengajian dalam bidang itu di peringkat Ijazah Sarjana dua hari seminggu antara lima hingga enam jam setiap Jumaat dan Sabtu dalam tempoh 11 bulan.

"Seramai tiga dari 10 pegawai tadbir yang memperoleh keputusan cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana akan ditaja sepenuhnya untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD di universiti di luar negara," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara pejabat Setiausaha Kerajaan negeri dan UNiSZA, di sini petang ini.

Pada majlis itu, Wan Nawawi menandatangani perjanjian bagi pihak kerajaan negeri, manakala UNiSZA diwakili Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin dan Dekan Fakuliti Ekonomi dan Sains Pengurusan, Profesor Dr Ahmad Syukri Yazid.

Berdasarkan perjanjian itu, UNiSZA akan menghantar pensyarahnya untuk mengajar pegawai tadbir kerajaan negeri mengikuti pengajian yang diadakan di Wisma Darul Iman (WDI).

Wan Nawawi berkata, setakat ini seramai 29 pegawai tadbir kerajaan negeri memiliki kelulusan di peringkat Ijazah Sarjana dan hasil daripada perjanjian yang ditandatangani, jumlah penjawat awam yang akan dipilih untuk mengikuti pengajian dalam bidang PhD akan ditambah menjadi 50 orang.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memberi peluang kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi seiring dengan prinsip ke lapan Tranformasi Terengganu Baharu (TTB) untuk memperkasakan bidang pendidikan.

"Sebagai kerajaan yang proaktif, penjawat awam perlu menggunakan teknologi digital untuk melonjakkan mutu penyampaian perkhidmatan selain manfaatkan peralatan itu sebagai pemudah cara kepada kerajaan," katanya.

Berita Harian X