Isnin, 16 Oktober 2017 | 4:00pm
Timbalan Pengarah Kanan Hospital Kuala Lumpur, Datin Dr Nor Akma Yusuf (tengah) beramah mesra dengan Soo Siew Lan ,84 (dua kanan) dan sebahagian warga emas yang hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Hospital Kuala Lumpur Sambutan Hari Warga Emas Sedunia pada 1 Oktober lalu. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Negara kurang pakar geriatrik

KUALA LUMPUR: Negara memerlukan sekurang-kurangnya 600 pakar geriatrik untuk ditempatkan di setiap pusat perubatan berikutan pertambahan pesakit warga emas.

Timbalan Pengarah Kanan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datin Dr Nor Akma Yusof, berkata pertambahan itu juga selaras jangkaan bahawa Malaysia bakal menjadi negara tua menjelang 2030.

Katanya, setakat ini pakar geriatrik di seluruh negara adalah seramai 29 orang termasuk 14 yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan.

"Angka itu sangat rendah kerana hampir 45 peratus pesakit yang dimasukkan ke wad berusia lebih 60 tahun ke atas. Selain itu, kebanyakan pakar geriatrik berpusat di HKL dan Selangor.

KUALA LUMPUR 16 OKTOBER 2017. sebahagian warga emas menjalani senaman pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Hospital Kuala Lumpur Sambutan Hari Warga Emas Sedunia pada 01 Oktober 2017 lalu. - Foto Mohd Yusni Ariffin

"Justeru kita menjangkakan menjelang 2020, setiap negeri akan mempunyai pakar geriatrik di setiap hospital besar," katanya ketika merasmikan sambutan Hari Warga Emas HKL, dekat sini semalam.

Geriatrik adalah kajian mengenai penyakit dalam kalangan orang tua dan perawatan serta penjagaan kesihatan mereka.

Unit Geriatrik HKL yang ditubuhkan pada 2004, kini mempunyai lima pakar geriatrik dan turut melebarkan perkhidmatannya kepada lawatan ke rumah atau 'home visit' serta klinik pesakit luar.

Ia juga bertujuan memberi rawatan dan penjagaan pesakit secara menyeluruh.

Nor Akma berkata, tugasan sebagai pakar geriatrik sangat unik kerana ia membabitkan integrasi pelbagai disiplin seperti pemulih cara kerja dan anggota, farmasi dan kebajikan sosial.

Katanya, kemudahan berkenaan memberi rawatan menyeluruh dalam penjagaan pesakit warga emas.

"Berbanding pakar lain seperti kardiologi, pakar geriatrik ini adalah satu cabang tugas yang menyeluruh atau holistik di mana rawatannya bermula dari hujung rambut hingga hujung kaki.

"Mungkin disebabkan faktor itu, ia kurang menarik minat pakar umum untuk dijadikan bidang spesifik," katanya.

Katanya, perubahan demografik ke arah peningkatan orang tua dapat dilihat menerusi laporan Jabatan Perangkaan Negara.

Timbalan Pengarah Kanan Hospital Kuala Lumpur , Datin Dr Nor Akma Yusuf (dua dari kanan) bersama warga emas memotong kek pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Hospital Kuala Lumpur Sambutan Hari Warga Emas Sedunia pada 01 Oktober 2017 lalu. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Beliau berkata, pada 2014, terdapat 2.54 juta warga emas atau 8.6 peratus daripada populasi rakyat negara ini.

"Selangor antara negeri yang bakal mencatat bilangan warga emas paling ramai dan akan terus meningkat terutama di negara membangun khasnya rantau Asia.

"Pakar geriatrik bukan saja perlu penuh dengan ilmu, tetapi turut ada pengisian jiwa dan penyayang kerana mereka perlu merawat warga emas yang mempunyai pelbagai penyakit dan tidak berupaya.

Info

  • 700 juta penduduk dunia berusia lebih 60 tahun.
  • 20 peratus atau 2 bilion populasi dunia akan berusia 60 tahun ke atas menjelang 2050.
Berita Harian X