Selasa, 10 Oktober 2017 | 8:55pm
DATUK Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendengar penerangan berkaitan sistem pengawasan kualiti alam sekitar dari Ketua Pegawai Eksekutif Pakar Scieno TW Sdn Bhd, Dr Abdul Rani Abdullah sempena pembukaan Pusat Kawalan Alam Sekitar Nasional, di Jabatan Alam Sekitar di Putrajaya. - Foto Noor Atiqah Sulaiman
DATUK Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendengar penerangan berkaitan sistem pengawasan kualiti alam sekitar dari Ketua Pegawai Eksekutif Pakar Scieno TW Sdn Bhd, Dr Abdul Rani Abdullah sempena pembukaan Pusat Kawalan Alam Sekitar Nasional, di Jabatan Alam Sekitar di Putrajaya. - Foto Noor Atiqah Sulaiman

EQMP kawal pencemaran alam sekitar

PUTRAJAYA: Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) membantu kerajaan menyediakan maklumat berkaitan kualiti alam sekitar sebelum menjalankan sebarang kegiatan penguatkuasaan atau projek pembangunan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata EQMP merangkumi pengumpulan data bagi semua pencemaran alam, termasuk pemantauan kualiti udara, air sungai dan laut di seluruh negara.

Katanya, sistem terbabit secara tidak langsung dapat melaporkan keadaan terkini kualiti alam sekitar, sekali gus membolehkan kementeriannya memantau, mencegah serta mengawal pencemaran berkenaan daripada merebak.

"EQMP ini adalah penambahbaikan daripada sistem pengawasan kualiti alam sekitar yang digunakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sejak 22 tahun lalu.

"Sistem lama hanya merangkumi komponen udara dan air sungai.

"Selain itu, sistem yang digunakan sekarang adalah teknologi terkini, contohnya di Stesen Pengawasan Kualiti Udara, kita akan menggunakan PM2.5 bagi mengetahui sistem pengukuran kualiti udara (IPU) terutama ketika jerebu.

"Parameter PM2.5 itu berupaya mengukur habuk halus bersaiz kurang daripada 2.5 mikrometer. Teknologi ini sama seperti yang digunakan oleh Singapura," katanya selepas melancarkan EQMP dan Pusat Kawalan Alam Sekitar Nasional, di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim.

Wan Junaidi berkata, sebelum ini, pihaknya serta negara maju yang lain hanya menggunakan parameter PM10 bagi memantau kualiti udara ketika jerebu.

Dengan penambahbaikan sistem itu, katanya, teknologi yang digunakan di Malaysia lebih ke hadapan berbanding negara lain.

Berita Harian X