Sabtu, 7 Oktober 2017 | 6:56pm
PRESIDEN MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Pengarang Eksekutif Berita/Rencana/Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman bergambar bersama pelajar-pelajar pada Majlis Penutupan Seminar Skor A SPM MSU-BH 2017 di Management & Science University (MSU), Shah Alam, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad
PRESIDEN MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Pengarang Eksekutif Berita/Rencana/Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman bergambar bersama pelajar-pelajar pada Majlis Penutupan Seminar Skor A SPM MSU-BH 2017 di Management & Science University (MSU), Shah Alam, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

MSU, BH komited budaya kecemerlangan pendidikan

SHAH ALAM: Management & Science University (MSU) komited menjalin kerjasama dengan BH dalam membudayakan kecemerlangan sektor pendidikan, sekali gus melahirkan generasi berpengetahuan tinggi.

Ia termasuk kerjasama menganjurkan 10 seminar pendidikan dengan kerjasama BH secara berperingkat bermula pada Mei lalu.

Seminar dianjurkan di 10 lokasi, iaitu Ipoh, Perak; Kemaman, Terengganu; Alor Gajah dan Merlimau, Melaka; Rembau dan Seremban, Negeri Sembilan; Kulim, Kedah; Sandakan, Sabah; Kuching, Sarawak dan Shah Alam, Selangor.

Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, berkata pembudayaan kecemerlangan pendidikan mampu membantu negara memiliki kelompok bijak pandai dan tenaga pakar bidang kerjaya, terutama pekerjaan berstatus profesional.

"MSU menyedari bagi membudayakan kecemerlangan pendidikan, program peningkatan akademik dan ilmu harus dianjurkan secara giat seperti seminar ini yang diadakan di 10 lokasi secara berperingkat bermula Mei lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Seminar Skor A SPM MSU-BH 2017 di universiti berkenaan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarang Eksekutif Berita/Rencana/Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Naib Presiden Komunikasi Korporat & Antarabangsa MSU, Datuk Rosli Yusof.

Hampir 1,000 peserta dari 47 sekolah menengah di Lembah Klang dan Perak menghadiri seminar dua hari itu yang fokus kepada enam mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Matematik Tambahan dan Fizik.

Ia bertujuan memberi pendedahan, teknik dan panduan kepada peserta, termasuk kaedah menjawab soalan secara tepat serta meningkatkan keyakinan mereka bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bulan depan.

Mohd Shukri berkata, komitmen dan tanggungjawab besar dilaksanakan BH sebagai media arus perdana dalam mengadakan kerjasama itu mampu membantu memperkasakan agenda pendidikan negara, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"MSU komited memperuntukkan dana berjumlah RM2.1 juta tahun ini kepada BH bagi melaksanakan program pendidikan, termasuk biasiswa dan seminar.

"Bagi Skor A sepanjang tahun ini, seramai 12,000 calon memperoleh manfaat melalui ilmu disampaikan penceramah dari kalangan guru pakar dilantik BH," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zaini berkata, seminar dilancarkan BH bersama MSU sejak 1996 itu dapat memberi peluang kepada pelajar, termasuk di luar bandar menikmati pendidikan secara lebih baik.

Katanya, di semua lokasi seminar, ia memberi pengalaman baharu kepada pelajar untuk mendapatkan ilmu bermanfaat, selain sebagai kaedah ulangkaji berkesan.

Beliau berkata, ia juga lonjakan semangat supaya mereka lebih gigih berusaha bagi mencapai kecemerlangan ketika di peringkat sekolah.

Katanya, program bersama MSU adalah sebahagian daripada seminar bimbingan peperiksaan dilancarkan BH secara tahunan yang membabitkan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan SPM.

"Sejak BH melancarkan seminar pendidikan ini 21 tahun lalu, lebih sejuta peserta dari seluruh negara sudah menyertainya," katanya.

Berita Harian X