Rabu, 4 Oktober 2017 | 1:18pm
PUTERA Charles (kanan) dan isteri, Camilla dijadual mengadakan lawatan selama lima hari ke Malaysia, mulai 3 November ini.- Foto AFP
PUTERA Charles (kanan) dan isteri, Camilla dijadual mengadakan lawatan selama lima hari ke Malaysia, mulai 3 November ini.- Foto AFP

Putera Charles lawat Malaysia 3-8 November

LONDON: Pewaris takhta Britain, Putera Charles dan isteri, Camilla, dijadual mengadakan lawatan selama lima hari ke Malaysia, mulai 3 November ini.

Lawatan itu adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik di antara United Kingdom dan Malaysia.

Menurut laman web pejabat kediaman rasmi diraja, Clarence House, antara program yang diadakan sempena lawatan itu adalah Majlis Makan Malam Gala, yang bakal dihadiri golongan kenamaan, termasuk tokoh penting dalam sektor perniagaan, seni, kebudayaan dan media.

Turut diadakan, program sempena penganjuran Sidang Kemuncak Komanwel di United Kingdom tahun depan dan Malaysia pada 2020.

Putera Charles dan Camilla kemudiannya akan mengunjungi Sarawak dan Perak bagi melihat sendiri usaha program pemuliharaan hidupan liar dan perlindungan biodiversiti.

Ketika di Sarawak, pasangan diraja itu akan mengadakan pertemuan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Camilla juga bakal bertemu dengan ahli pertubuhan bukan kerajaan, Purple Lily, yang bertanggungjawab membantu wanita dan remaja perempuan yang kurang bernasib baik menerusi program latihan dan bantuan kewangan.

Pasangan diraja itu akan mengakhiri lawatan ke negara ini dengan mengunjungi Georgetown, Pulau Pinang, yang sebelum ini dikenali sebagai Prince of Wales Island.

Putera Charles dan Camilla kemudiannya akan meneruskan lawatan ke India pada 8 November.

Sebelum tiba di Malaysia, mereka mengunjungi Singapura dan mengadakan pertemuan dengan Presiden, Halimah Yacob dan Perdana Menteri, Lee Hsein Loong.

Berita Harian X