Ahad, 10 September 2017 | 3:11pm
SEBAHGIAN ahli kelab hadir di Majlis Kempen derma darah bagi mengisi tabung darah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) anjuran Jaksa Pendamai Klang,Kumpulan ACMAR @ KEC dan Rotary Club Klang di Kelab Eksekutif Klang, Bandar Baru Klang. - Foto Roslin Mat Tahir
SEBAHGIAN ahli kelab hadir di Majlis Kempen derma darah bagi mengisi tabung darah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) anjuran Jaksa Pendamai Klang,Kumpulan ACMAR @ KEC dan Rotary Club Klang di Kelab Eksekutif Klang, Bandar Baru Klang. - Foto Roslin Mat Tahir

Bekalan darah HTAR hampir kritikal

KLANG: Bekalan darah untuk kegunaan pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hampir kritikal.

Pegawai Perubatan Transfusi Darah HTAR, Dr Sagunthala, berkata ia membabitkan semua jenis darah.

"Bekalan darah sebenarnya bukan untuk keperluan HTAR sahaja, tetapi untuk keperluan beberapa hospital di daerah lain.

"Bekalan darah HTAR akan turut disalurkan ke Hospital Banting, Hospital Tengku Ampuan Jemaah di Sabak Bernam, Hospital Shah Alam dan Hospital Tanjong Karang.

"Kita memang perlukan banyak darah dan sebab itu kami banyakkan program derma darah dalam kawasan liputan HTAR. Kami juga menghubungi penderma tetap dan kerap untuk menderma.

"Selain mangsa kemalangan dan ibu bersalin, pesakit kanser darah juga memerlukan bekalan darah yang banyak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kempen Derma Darah Unit Tabung Darah HTAR anjuran Jaksa Pendamai Klang, Kumpulan ACMAR @ Kelab Eksekutif Klang (KEC) dan Kelab Rotary Klang (KRC) di sini, hari ini.

Dr Sagunthala berkata, khuatir dengan tahap bekalan darah mendorong Unit Transfusi Darah HTAR bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menganjurkan kempen derma darah.

"HTAR berusaha adakan kempen derma darah pada setiap hari di tempat berbeza menerusi kerjasama dengan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Jaksa Pendamai Daerah Klang, Datuk Thong Young Koon, berkata kempen derma darah anjuran bersama KEC dan KRC itu adalah julung kali diadakan serta akan dijadikan program tahunan sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia

"Ini adalah tanggungjawab sosial korporat kepada mereka yang memerlukan dan ia terbuka bukan sahaja kepada ahli kelab, tetapi semua masyarakat. Kita berharap akan lebih banyak NGO tampil menganjurkan program seperti ini," katanya

Berita Harian X