Ahad, 3 September 2017 | 12:52pm
DUA mesin VDTBM 2.0 melepasi pemeriksaan Ujian Penerimaan Kilang (FAT), di Herrenknecht Tunelling Machinery (HTM) Guangzhou, China, baru-baru ini. - Foto ihsan MRT
DUA mesin VDTBM 2.0 melepasi pemeriksaan Ujian Penerimaan Kilang (FAT), di Herrenknecht Tunelling Machinery (HTM) Guangzhou, China, baru-baru ini. - Foto ihsan MRT

Jentera gergasi korek terowong tiba November

KUALA LUMPUR: Seiring lonjakan skala projek, empat Mesin Pengorek Terowong Ketumpatan Berubah (VDTBM) yang diberi nafas baharu dibeli dan dijangka tiba secara berperingkat mulai November ini.

Menerusi naik taraf beberapa sistem pengoperasian mencakupi kadar kemampuan bilah pemotong dan kelancaran aliran bahan buangan, mesin yang diberi jolokan VDTBM 2.0 itu dilihat pemangkin operasi pembangunan Transit Aliran Massa (MRT) jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) atau MRT2.

Tambahan mesin pengorek dengan ukuran rentas 6.7 meter dan panjang 140 meter itu disifatkan pelaburan strategik kerana laluan bawah tanah bagi jajaran SSP menjangkau 13.5 kilometer (km), merangkumi 11 stesen, berbanding 9.5 km serta tujuh stesen untuk jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Pengurus Besar Terowong MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd, Ng Hau Wei, berkata langkah menaik taraf kemampuan VDTBM dibuat hasil kajian semula terhadap operasi stesen bawah tanah bagi MRT jajaran SBK.

Sehubungan itu, katanya, beberapa masalah kecil daripada pengoperasian mesin VDTBM itu diketengahkan kepada pengeluar untuk diatasi secara menyeluruh sebelum mereka menghasilkan edisi mesin VDTBM 2.0 yang lebih berkuasa tanpa sebarang peningkatan kos pembelian.

"Mesin yang lebih berkuasa bukan bermaksud kita sasarkan operasi mengorek terowong berupaya dilakukan lebih cepat, sebaliknya dijalankan tanpa sebarang masalah berbangkit.

"Kita rekodkan setiap masalah ketika kerja pengorekan laluan bawah tanah untuk MRT jajaran SBK supaya proses naik taraf dapat dilakukan menerusi penghasilan empat mesin baharu VDTBM 2.0.

"Secara keseluruhan, kita mempunyai enam jentera VDTBM 1.0, dua Mesin Pengorek Terowong Keseimbangan Tekanan Bumi (EPBTBM) dan empat VDTBM 2.0," katanya.

Beliau berkata demikian kepada kumpulan media Malaysia yang mengikuti lawatan ke Guangzhou, China, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Terowong MRT Corp, Blaise Mark Pearce dan Pengarah Terowong MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd, Gusztav Klados.

Terdahulu, media Malaysia dibawa meninjau operasi Ujian Penerimaan Kilang (FAT) mesin VDTBM 2.0 di Herrenknecht Tunelling Machinery (HTM) Co Ltd, di sini.

FAT adalah proses pengesahan yang diberikan pengeluar selepas menjalankan pemeriksaan terhadap lebih 400 komponen VDTBM 2.0, sekali gus membuktikan setiap reka bentuk mesin menepati spesifikasi kontrak ditetapkan pelanggan.

Pasca ujian FAT, Hau Wei berkata, tempoh dua bulan diperlukan untuk memasang mesin VDTBM 2.0 sebelum ia boleh digunakan untuk kerja mengorek terowong.

Beliau berkata, 10 mesin VDTBM akan digunakan untuk kerja mengorek terowong bagi laluan yang mempunyai jenis tanah batu kapur karstik, manakala dua lagi iaitu EPBTBM bagi mendapan batuan dan berpasir atau formasi Kenny Hill.

"Sebarang penangguhan dalam rangkaian pelaksanaan kerja boleh menyebabkan kelewatan terhadap tarikh penyerahan projek infrarakyat ini," katanya.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah, berkata 12 mesin masing-masing empat dari HTM China dan lapan jentera yang dibaik pulih akan dilancarkan di tapak berbeza, dengan pelancaran pertama dijangka suku pertama 2018.

Katanya, pelancaran kerja mengorek akan bermula di Jalan Ipoh dan berakhir di Bandar Malaysia Selatan di Kuala Lumpur sebaik dua mesin VDTBM 2.0 tiba pada November dan Disember ini, manakala dua lagi dijangka sampai di Malaysia pada awal tahun depan.

"Projek berskala mega dengan kos pembangunan kasar (GDV) RM32 bilion ini dijangka siap 19 peratus menjelang hujung tahun ini.

"Fasa pertama jajaran SSP dijangka siap pada Julai 2021, manakala fasa kedua pula adalah Julai 2022," katanya.

INFO

* MRT2

- Laluan, 52.2 kilometer

- 37 stesen

- 11 stesen bawah tanah

- GDV, RM32 bilion

- Dijangka siap, Julai 2022.

* VDTBM 2.0

- Harga, RM40 juta hingga RM60 juta seunit

- Bergantung kepada spesifikasi

Berita Harian X