Ahad, 3 September 2017 | 11:51am
UMMU Farah mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Elbrus. - Foto ihsan Kembara Srikandi Prihatin
UMMU Farah mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Elbrus. - Foto ihsan Kembara Srikandi Prihatin

Ummu Farah wakil tunggal KSP tawan Elbrus

KUALA LUMPUR: Wakil tunggal Pasukan Kembara Srikandi Prihatin (KSP), Ummu Farah Haidar Zulkifli, mengibarkan Jalur Gemilang di puncak tertinggi Eropah, Gunung Elbrus, 5,642 meter dari paras laut, pada jam 12.15 tengah hari waktu tempatan (4.15 petang waktu Malaysia), semalam.

Lebih manis, Pengarah Program KSP itu disertai enam pendaki Malaysia merangkumi kakitangan Bank Negara Malaysia (BNM) meneruskan misi menawan puncak tertinggi Eropah itu sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-60.

Koordinator KSP, Ahmad Fakhri Abu Samah, dalam satu kenyataan berkata, enam pendaki KSP termasuk Ummu Farah membuat percubaan menawan Gunung Elbrus pada 31 Ogos lalu, namun terpaksa berpatah balik akibat cuaca buruk.

Katanya, Pasukan KSP membuat percubaan kali kedua jam 2 pagi semalam, dalam keadaan angin kuat dan mencecah suhu di bawah paras beku iaitu -15 darjah Celsius.

"Kita perlu ada perancangan sebelum mendaki puncak Gunung Elbrus dan mengambil kira pelbagai faktor termasuk pakaian tebal bagi menahan angin kuat serta ribut salji.

"Ribut salji pagi semalam (kelmarin) menyebabkan kawasan di pergunungan Elbrus terputus hubungan, bekalan makanan dan sumber elektrik," katanya.

Beliau berkata, lima lagi pendaki KSP tidak mampu meneruskan misi berkenaan atas faktor cuaca yang terlalu sejuk pada ketinggian 5,000 meter.

Bagaimanapun, katanya, dengan kekuatan dan keadaan cuaca semakin baik di kawasan puncak gunung berkenaan, Ummu Farah bersama enam pendaki Malaysia lain dapat meneruskan pendakian hingga ke puncak Elbrus.

"Mereka sudah selamat turun ke Kem Barrel Hut (kem induk pendaki)," katanya.

Selain Ummu Farah, KSP turut disertai bekas pesakit kanser payudara, Rene'e Aziz Ahmad; Ahli Pergerakan Puteri UMNO, Nurul Huda Shamsuddin, Fazilah Abd Manan dan Nir Azmin Adnan serta wartawan Harian Metro, Fairul Asmaini Mohd Pilus.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Kembara Negara dan Pejabat Perdana Menteri.

Berita Harian X