Khamis, 31 Ogos 2017 | 7:30pm
LEBIH 400 peserta mengambil bahagian dalam siri program World #QuranHour di Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak, Petra Jaya, hari ini. - Foto Jannah Kho

World #QuranHour di Sarawak melangkaui jangkaan

PETRA JAYA: Lebih 400 peserta mengambil bahagian dalam siri program World #QuranHour di Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak, di sini, hari ini.

Kehadiran peserta itu sekali ganda berbanding sasaran awal.

Pengerusi program World #QuranHour Sarawak, Alina Abdul Razak, berkata sambutan positif pada program menunjukkan tahap kesedaran mengenai pentingnya pemahaman al-Quran dalam kalangan umat Islam negeri ini.

"Asalnya kami hanya menjangkakan kira-kira 200 orang akan hadir untuk menyertai program hari ini. Bagaimanapun, jumlah yang datang hari ini melepasi jangkaan kami.

"Saya berharap kempen itu boleh diadakan di beberapa tempat di Sarawak tahun depan berikutan sambutan yang menggalakkan daripada umat Islam di negeri ini," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

ANTARA peserta yang mengambil bahagian dalam siri program World #QuranHour di Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak, Petra Jaya, hari ini. - Foto Jannah Kho

Antara peserta program peringkat negeri itu termasuklah Imam Besar Negeri, Datuk Jorji Suhaili.

Tahun ini ialah yang kedua kempen itu diadakan diadakan di negeri ini bagi membimbing umat Islam untuk mengamalkan nilai-nilai murni berlandaskan ajaran al-Quran.

Alina berkata, program itu ialah antara inisiatif yang baik untuk menggalakkan dan memupuk rakyat terutama generasi muda untuk membaca dan memahami ajaran dalam al-Quran.

"Saya berharap lebih ramai umat Islam di negeri ini akan hadir pada majlis yang sama yang akan diadakan tahun depan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Husammuddin Yaacub berkata, Sarawak akan menjadi antara lokasi utama untuk menganjurkan program World #QuranHour.

Media Prima ialah rakan media untuk program World#QuranHour tahun ini.

ANTARA peserta yang mengambil bahagian dalam siri program World #QuranHour di Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak, Petra Jaya, hari ini. - Foto Jannah Kho

Berita Harian X