Rabu, 30 Ogos 2017 | 9:42pm
DATUK Seri Dr S Subramaniam.- Foto Azhar Ramli

Hayatilah tema Negaraku Sehati Sejiwa

 

KUALA LUMPUR: Tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, iaitu Negaraku Sehati Sejiwa, memiliki maksud mendalam terhadap usaha membentuk sebuah negara bangsa.

 

Presiden MIC yang juga Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata masyarakat perlu menghayati tema itu yang membawa rakyat memberi tumpuan kepada sikap nasionalisme berasaskan semangat kebersamaan dalam membangunkan negara.

Katanya, pemilihan tema itu menunjukkan pentingnya rakyat Malaysia memiliki semangat berbilang kaum dan bersatu padu ke arah menjayakan wawasan negara.

"Daripada perspektif negara, ia melambangkan jiwa sesebuah negara yang datangnya daripada rakyat. Konsep sehati sejiwa melintasi persepsi sempadan negara yang menyumbang kepada kestabilan nasional.

"Rakyat Malaysia amat bertuah hidup di negara yang aman damai tanpa pergolakan serta kekecohan. Setiap daripada kita tanpa mengira bangsa dan agama harus berganding bahu, bekerjasama memastikan keamanan dan kemakmuran ini dipertahankan untuk generasi akan datang.

"Jika sikap kebersamaan ini tidak terus dipupuk dan disemai dalam sanubari masyarakat negara ini, ia akan menjejaskan kestabilan dan keharmonian negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Subramaniam berkata, elemen kepelbagaian kaum di negara ini adalah aset yang amat bernilai sebagai tonggak perpaduan negara.

Katanya, konsep itu perlu dihayati dalam semua aspek pembangunan negara, antaranya pada Sukan SEA tahun ini yang jelas menonjolkan semangat nasionalisme dan cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Dalam perspektif kesihatan, Kementerian Kesihatan menawarkan perkhidmatan kesihatan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa, bertepatan dengan tema Negaraku Sehati Sejiwa.  

"Semasa menjalankan tugas, pegawai kementerian bekerja dengan komited berlandaskan semangat nasionalisme serta pengorbanan tinggi yang ada dalam jiwa mereka. 

"Saya percaya semangat itu sudah sebati dan sehati sejiwa dalam kalangan anggota kementerian, terutama semasa kecemasan dan  bencana," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X