Isnin, 28 Ogos 2017 | 12:57pm

Lembu, kerbau seludup dikhuatiri bawa penyakit

ANTARA lembu yang dirampas anggota ATM menerusi Operasi Wawasan di pangkalan haram Wakaf Zink, Rantau Panjang, Rabu lalu. - Foto ihsan ATM
ANTARA lembu yang dirampas anggota ATM menerusi Operasi Wawasan di pangkalan haram Wakaf Zink, Rantau Panjang, Rabu lalu. - Foto ihsan ATM

KOTA BHARU: Antara 15,000 hingga 20,000 lembu dan kerbau dipercayai diseludup masuk dari negara jiran sejak awal tahun ini yang dibimbangi boleh mendedahkan ternakan tempatan dan orang ramai terhadap pelbagai penyakit.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) percaya, ternakan berkenaan diseludup masuk sebelum pihak berkuasa meningkatkan kawalan sempadan di sepanjang Sungai Golok serta menutup 129 pangkalan haram pada Julai lalu.

Ketua Pintu Masuk Rantau Panjang yang juga Penolong Pegawai Penguat Kuasa MAQIS, Mohd Junaidi Noh, berkata jumlah ternakan itu tidak mustahil telah diseludup berikutan wujudnya banyak lorong tikus di sepanjang Sungai Golok sebelum ini yang menjadi laluan sindiket penyeludupan.

Malah, katanya, pihak berkuasa pernah merampas lebih 60,000 lembu dan kerbau yang diseludup.

"Tahun lalu saja, lebih 2,000 lembu dan kerbau dirampas, manakala tahun ini bilangannya mencecah dua kali ganda hasil tindakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) dan Pasukan Polis Marin.

Orang ramai terdedah risiko

"Keadaan ini dikhuatiri boleh mendedahkan orang ramai kepada penularan penyakit Brucella abortus atau Bruselosis dan melioidosis serta penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (FMD) yang boleh menjadi wabak serta membunuh lembu atau kerbau tempatan.

"Penyakit ini bukan saja boleh menjangkiti binatang ternakan lain, tapi orang ramai yang makan daging lembu berpenyakit turut berisiko mengalami kemandulan," katanya kepada BH.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Kesihatan Veterinar), Datuk Dr Muhammad Safaruddin Md Dawam, menasihati pembekal supaya mendapatkan sijil kesihatan daripada Pejabat Veterinar negeri dan daerah sebelum penyembelihan bagi membolehkan ternakan diperiksa.

Katanya, ternakan seludup boleh mengundang padah bukan saja kepada ternakan tempatan malah mendedahkan orang ramai terhadap risiko dijangkiti pelbagai penyakit.

"Kesan paling buruk penyakit itu boleh menyebabkan keguguran dan kemandulan kepada manusia yang dijangkiti virus terbabit terutama wanita hamil," katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah membangunkan sistem pengenalan pada haiwan ternakan bagi mengekang penyakit bawaan serta menyekat kegiatan penyeludupan haiwan.

Selain itu, katanya permit penyembelihan dan sijil kesihatan hanya dikeluarkan kepada pembekal yang mempunyai akuan pindah ternakan yang sah.

gn4id:22365780

Sukar bendung penyeludupan

"Namun sistem ini tidak berkesan kerana selagi ada permintaan, kegiatan penyeludupan sukar dibendung," katanya.

Katanya, virus penyakit boleh merebak melalui pelbagai cara termasuk mereka yang memakan organ dalaman lembu berpenyakit yang tidak dimasak dengan betul.

"Virus juga boleh merebak melalui kesan luka ketika proses penyembelihan dan pengendalian. Penternak lembu seludup juga berisiko dijangkiti," katanya.

Mengikut peraturan, ternakan dari Thailand perlu dikuarantin 15 hari untuk pemeriksaan bagi memastikan bebas penyakit sebelum dibenar dibawa masuk.

Ternakan juga akan disembur ubat, diambil sampel darah dan diberi vaksin sepanjang tempoh kuarantin.

Kepala lembu dicangkuk pada perahu khas

Kepala lembu dicangkuk pada perahu khas yang diubah suai sebelum ditarik menyeberangi Sungai Golok yang hanya mengambil masa beberapa minit berikutan jarak sempadan kira-kira 100 meter.

Begitulah modus operandi digunakan sindiket penyeludupan lembu dari Thailand ke Kelantan, yang dilihat semakin aktif menjelang Aidiladha.

Panglima 8 Briged, Brig Jen Nazari Abd Hadi, berkata selain bot khas, taktik penyeludup terbabit licik apabila kebanyakan mereka membawa lembu ke sempadan beberapa hari sebelum mencari waktu sesuai untuk memaksa ternakan itu menyeberangi Sungai Golok.

Katanya, jika dahulu sindiket menumpukan kegiatan pada waktu malam, kini mereka juga melakukannya pada siang hari berdasarkan rampasan 27 lembu bernilai RM94,500 oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di pangkalan Wakaf Zink, Rabu lalu.

"Berdasarkan pemerhatian saya, apabila mereka melihat ATM tumpu gerakan pada waktu malam, mereka ubah modus operandi kepada waktu siang. Mereka mengambil kesempatan menyebabkan kami juga terpaksa mengubah kaedah penguatkuasaan secara serang hendap.

"Selain anggota tentera ditugaskan untuk menampakkan kehadiran pihak berkuasa, masa sama beberapa anggota kini bersembunyi dalam keadaan mengendap supaya boleh bertindak sekiranya ada aktiviti penyeludupan.

Penyeludup semakin licik

"Penyeludup cukup licik kerana sentiasa memerhatikan pergerakan anggota tentera yang bertugas bagi memastikan kegiatan mereka gagal dikesan," katanya ketika ditemui BH di sini.

Nazari menjangkakan lebih banyak lembu sudah bersedia di sempadan untuk diseludup masuk, cuma penyeludup mencari masa dan lokasi sesuai untuk berbuat demikian.

Katanya, walaupun ATM sudah menutup 129 pangkalan haram dan mengetatkan kawalan sempadan sejak Julai lalu, kegiatan itu sukar dikekang sepenuhnya memandangkan ia turut membabitkan penduduk tempatan yang menjadikannya sebagai pekerjaan turun temurun.

Seramai 400 anggota tentera yang bertugas di sempadan mempertingkatkan kawalan sama ada menerusi rondaan bermotosikal, kereta atau intipan susulan penutupan 129 pangkalan haram itu.

"Mereka seolah-olah terdesak melakukan kegiatan penyeludupan kerana pekerjaan itu mungkin menjadi mata pencarian utama, sebab itu mereka tetap berdegil. Justeru, antara 30 hingga 40 pangkalan yang dikenal pasti aktif akan diberi tumpuan khusus," katanya.

MOHD Junaidi (kanan) bersama rakan sejawatnya, Che Nor Che Hab memeriksa sebahagian 27 ekor lembu yang diseludup masuk di kandang stesen kuarantin MAQIS, Rantau Panjang, kelmarin. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Junaidi (kanan) bersama rakan sejawatnya, Che Nor Che Hab memeriksa sebahagian 27 ekor lembu yang diseludup masuk di kandang stesen kuarantin MAQIS, Rantau Panjang, kelmarin. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Ternakan ditawar harga lebih murah

Proses mendapatkan lembu seludup lebih mudah kerana tidak perlu sebarang proses dokumentasi, selain ditawarkan harga lebih murah dengan ternakan yang besar.

Pendedahan itu dibuat seorang pengimport lembu tempatan, Mohamad Nasarudin Mohamad Nor, 24, yang pernah ditawarkan ternakan oleh sindiket penyeludupan lembu.

Bagaimanapun, tawaran itu ditolak Mohamad Nasarudin, yang sudah enam tahun menjadi pengimport lembu dari Thailand secara sah.

Beliau menolak tawaran itu kerana melanggar undang-undang, selain ingin bertahan lebih lama sebagai pengimport lembu tempatan memandangkan ia adalah perniagaan keluarganya.

"Biasanya harga lembu diseludup lebih murah sehingga pengurangan harga daripada RM100 hingga RM300 seekor. Harga asal lembu adalah RM2,800 sehingga RM13,000, bergantung kepada saiz.

Didekati anggota sindiket

"Jika saya menjalankan urusan di Thailand, sudah menjadi kebiasaan kami didekati sindiket supaya membeli lembu seludup mereka dengan pelbagai tawaran.

"Lembu seludup dibawa ke Malaysia melalui jalan sungai waktu tengah malam atau awal pagi. Apa yang saya tahu, sekurang-kurangnya 20 lembu akan di bawa menyeberangi sungai pada setiap masa," katanya kepada BH.

Mohamad Nasarudin berkata, tidak berbaloi untuk pengimport sepertinya membeli lembu seludup walaupun pada harga lebih murah jika menyalahi peraturan.

"Saya pergi ke kandang ternakan di Thailand bagi melihat lembu yang mahu dibeli dan akan meminta pemilik lembu melakukan dokumentasi, selain kuarantin di Thailand sebelum dibawa ke Malaysia.

Kuarantin terlebih dulu

"Kami juga perlu menempatkan terlebih dulu lembu di Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) selama 15 hari untuk dikuarantin bagi memastikan lembu bebas penyakit dan sihat," katanya.

Difahamkan, dengan hanya menyeludup 10 ekor lembu, sindiket penyeludupan boleh mendapat keuntungan sekurang-kurangnya RM5,000 berikutan permintaan yang tinggi menjelang Aidiladha.

Ini kerana, perbezaan harga lembu di Thailand dengan Malaysia antara RM500 hingga RM1,000, malah boleh mencecah RM2,000 jika membabitkan lembu baka.

Kegiatan itu berterusan kerana walaupun 129 pangkalan haram sudah ditutup, tidak semua lokasi mampu dikawal 24 jam memandangkan jarak sempadan yang panjang.

Berita Harian X