Khamis, 24 Ogos 2017 | 11:29pm
USTAZ Datuk Md Daud Che Ngah turut memberi bantuan kepada 'mangsa' dalam Simulasi ERP MMMSL.
USTAZ Datuk Md Daud Che Ngah turut memberi bantuan kepada 'mangsa' dalam Simulasi ERP MMMSL.

Kejayaan kendali tren haji simbol kemajuan negara Islam

MAKKAH: Kejayaan Malaysia mengoperasikan tren haji, Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro - Southern Line (MMMSL) yang diiktiraf sebagai tren metro berkapasiti penumpang paling tinggi di dunia, disifatkan sebagai simbol kemajuan negara Islam.

Malah, keupayaan negara dalam operasi berkenaan melalui Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) turut dikagumi kalangan negara maju, terutama yang lebih ke hadapan dalam pengendalian tren seumpamanya seperti United Kingdom (UK) dan Perancis.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours, Datuk Md Daud Che Ngah, berkata pembabitan PRASARANA dalam operasi itu sejak tiga tahun lalu membantu Arab Saudi dalam memastikan kelancaran pergerakan jemaah haji, terutama pada hari wukuf.

"Tidak semua dalam kalangan negara Islam memiliki pengalaman dan kepakaran operasi tren bertaraf dunia seperti MMMSL, malah pencapaian ini seharusnya dibanggakan serta satu kejayaan besar untuk negara.

"Walaupun MMMSL hanya beroperasi tujuh hari pada setiap musim haji, ia menempa rekod tersendiri sebagai tren berkapasiti paling padat dan paling sibuk di dunia sepanjang tempoh kritikal berkenaan," katanya.

Beliau yang juga pembimbing haji berpengalaman berkata demikian selepas menyertai Simulasi Protokol Tindakbalas Kecemasan (ERP) MMMSL, di sini hari ini.

Md Daud berkata, lebih membanggakannya apabila dimaklumkan operasi itu dikawal selia seorang wanita iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME), Masnizam Hisham sejak dua musim haji lalu.

"Di kalangan negara Arab, bukan mudah untuk seorang wanita mengetuai operasi besar sebegini dan ini juga satu bukti bahawa wanita Muslim juga mampu mentadbir urus sebuah organisasi yang biasanya didominasi lelaki," katanya.

Sementara itu, sebahagian daripada 650 jemaah haji Malaysia yang menyertai simulasi itu berbangga melihat kehadiran anak tempatan dalam pengendalian operasi MMMSL.

Bagi Abdul Wahid Sulaiman, pemilihan PRASARANA sebagai operator tren haji itu turut disumbangkan oleh kelebihan dimilikinya, khususnya dalam sektor pengurusan pengangkutan awam di tanah air.

"Bukan mudah mencari negara Islam yang memiliki kepakaran dan teknologi canggih dalam sektor pengurusan pengangkutan awam, lebih-lebih lagi menggunakan sepenuhnya khidmat anak tempatan, termasuk golongan pesara," katanya.

Rakannya, Abduk Yuzain Yasin pula menyifatkan Simulasi ERP yang dilaksanakan itu jelas memperlihatkan komitmen berterusan negara dalam membantu memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah haji terjamin.

"Bagi saya, ini satu misi yang cukup mulia, lebih-lebih lagi dalam membantu 'Tetamu Allah' menunaikan ibadah mereka di Tanah Suci. Ini kali pertama saya diberikan peluang menaiki tren ini dan ia pengalaman yang cukup mengujakan," katanya.

Berita Harian X