Sabtu, 19 Ogos 2017 | 7:13pm
GAMBAR dari pandangan atas sewaktu ahli Persatuan Selaman Bebas Terengganu mengibarkan Jalur Gemilang Gergasi di dasar laut perairan Pulau Bidong. - Foto Ihsan Persatuan Selaman Bebas Terengganu
AHLI Persatuan Selaman Bebas Terengganu mengibarkan Jalur Gemilang Gergasi di dasar laut perairan Pulau Bidong.- Foto Ihsan Persatuan Selaman Bebas Terengganu
PASUKAN selaman membawa bendera Malaysia dan Terengganu di dasar lautan. - Foto Ihsan Persatuan Selaman Bebas Terengganu
PASUKAN selaman mencipta sejarah mengibar Jalur Gemilang di dasar laut Pulau Bidong, pada kedalaman 12 meter tanpa bantuan bekalan oksigen. - Foto Ihsan Persatuan Selaman Bebas Terengganu

'Kibar' Jalur Gemilang di dasar laut tanpa bekalan oksigen

KUALA NERUS: Seramai 30 penyelam mencipta kelainan menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-60 di negeri ini, apabila 'mengibarkan' Jalur Gemilang di dasar perairan Pulau Bidong di sini semalam, tanpa bantuan alat bekalan oksigen.

Pada program anjuran Persatuan Selaman Bebas Terengganu (PSBT) itu, Jalur Gemilang bersaiz 18 meter panjang dan enam meter tinggi itu diturunkan ke dasar laut sedalam kira-kira 12 meter oleh 30 penyelam bebas dari Terengganu, Kelantan, Johor Bharu dan Kuala Lumpur, secara bergilir-gilir dalam tempoh 30 minit.

Pengerusi penganjur program, Raja Faisal Raja Harun, berkata Jalur Gemilang itu diturun dan dikibarkan pada dua lokasi berhampiran Galeri Air perairan Pulau Bidong, jam 1.30 petang.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Kerajaan negeri (Unit Korporat), berkata 10 penyelam skuba turut mengiringi kumpulan 30 penyelam itu sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

"Pengibaran Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan negara ini sesuatu yang unik kerana penyelam tidak menggunakan bantuan alat bekalan oksigen, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada kemahiran mengawal dan menahan pernafasan sepanjang berada di dasar laut.

"Selain mencipta kebanggaan dengan kejayaan program ini, peserta juga teruja dapat melihat kerangka sebuah bas dan jentolak yang ditumbuhi terumbu karang di dasar laut Pulau Bidong," katanya ketika ditemui, di sini, petang ini.

Majlis perasmian Program Terengganu Merdeka Free Dive Sempena Pelancaran Program Negaraku Sehati Sejiwa 2017 Peringkat  negeri dirasmikan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalal di Pantai Tok Jembal, pagi tadi.

Berita Harian X