Jumaat, 18 Ogos 2017 | 10:59pm

KL2017: Jangan panik kehadiran 'kumpulan bersenjata'

KUALA LUMPUR: Jangan terkejut jika anda bertembung sekumpulan individu berseragam hitam, lengkap bersenjata api dan peralatan keselamatan di sekitar ibu negara sepanjang Sukan SEA ke-29 (KL2017) ini.

Mereka sebenarnya sebahagian daripada 600 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang ditugaskan dalam Ops Cantas Rimau sempena KL2017.

Kumpulan berkenaan bertugas menjaga keselamatan, lengkap dengan elemen seperti Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) dan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7).

Mereka dapat dilihat di kawasan tumpuan umum seperti pusat beli-belah, terutama di KLCC, Bukit Bintang, Kuala Lumpur Sentral, Dataran Merdeka serta tempat penginapan atlet dan delegasi asing, selain pusat hiburan.

Timbalan Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata lebih 600 pegawai dan anggotanya bersama kontinjen beberapa negeri terbabit dalam tiga fasa Ops Cantas Rimau sejak 7 Ogos lalu hingga 31 Ogos ini.

HUZIR (dua dari kanan) meninjau kawalan pegawai dan anggota JSJ yang terbabit dalam penugasan Ops Cantas Rimau di KL Sentral, baru-baru ini. - Foto NSTP

PASUKAN STAFOC membuat kawalan dan rondaan dalam Ops Cantas Rimau bagi memperketatkan kawalan keselamatan sempena Sukan SEA 2017 di Pavilion, Kuala Lumpur. - Foto Adi Safri

"Objektif utama kami adalah membendung jenayah selain mewujudkan perasaan selamat dalam kalangan rakyat Malaysia, peserta Sukan SEA dan pelancong dalam ketiga-tiga fasa yang sudah dirancang.

"Fokus kami tertumpu kepada sasaran khas yang sudah dikenal pasti terdiri daripada individu dan kumpulan penjenayah jalanan seperti samun dan ragut menerusi Fasa 1 dan 2," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata, menerusi Fasa 3 yang bermula semalam, pasukan Ops Cantas Rimau akan fokus kepada rondaan cegah jenayah.

"Kami akan bertindak sebagai salah satu pasukan tindakan khas sekiranya berlaku sebarang kejadian jenayah di kawasan acara sukan, tempat tumpuan ramai dan lokasi penginapan peserta KL2017," katanya.

Tinjauan BH di sekitar KL Sentral dan pusat beli-belah Pavilion Bukit Bintang, petang tadi mendapati rondaan dan kawalan dilakukan antara empat hingga lima pegawai dan anggota lengkap bersenjata dalam setiap kumpulan.

Kemunculan mereka turut menarik perhatian orang ramai dan pelancong asing yang mengambil peluang bergambar dengan setiap anggota berpakaian seragam penuh berkenaan. 

PASUKAN STAFOC membuat kawalan dan rondaan dalam Ops Cantas Rimau bagi memperketatkan kawalan keselamatan sempena Sukan SEA 2017 di Stesen Sentral Kuala Lumpur. - Foto Adi Safri
PASUKAN STAFOC membuat kawalan dan rondaan dalam Ops Cantas Rimau bagi memperketatkan kawalan keselamatan sempena Sukan SEA 2017 di Pavilion, Kuala Lumpur. - Foto Adi Safri
PASUKAN STAFOC membuat kawalan dan rondaan dalam Ops Cantas Rimau bagi memperketatkan kawalan keselamatan sempena Sukan SEA 2017 di Pavilion, Kuala Lumpur. - Foto Adi Safri
ANGGOTA JSJ menjalankan rondaan dalam Ops Cantas Rimau sempena Sukan SEA 2017, hari ini. - Foto NSTP
PEGAWAI dan anggota JSJ menjalankan rondaan dan kawalan dalam LRT dalam Ops Cantas Rimau sempena Sukan SEA 2017, hari ini. - Foto NSTP
Berita Harian X