Rabu, 16 Ogos 2017 | 3:02pm
KAKITANGAN Jabatan Perikanan Negeri Sembilan memeriksa benih udang galah yang akan dilepaskan di Sungai Timun Rembau.- Foto Mohd Amin Jalil
MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada gimik perasmian pelepasan 1.13 juta benih udang di Pangkalan Sungai Timun Rembau. - Foto Mohd Amin Jalil

Pengkhianat tuba udang galah, periuk nasi nelayan terjejas

REMBAU: Penggunaan racun tuba oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan dianggap 'pengkhianat' oleh nelayan darat, bakal menyaksikan udang galah Sungai Timun berdepan ancaman kepupusan.

Walaupun Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Perikanan, jelas memperuntukkan kompaun dan penjara, namun sikap pentingkan diri serta mengejar keuntungan semata-mata, terus berleluasa.

Akibatnya, nelayan darat yang bergantung kepada hasil tangkapan udang galah sepit biru di sungai berkenaan semakin tertekan kerana hasil menyusut.

Malah, penggunaan racun tuba di sungai berkenaan dan Sungai Rembau di kawasan hulu, turut memberi kesan terhadap udang galah yang hidup di Sungai Linggi, Port Dickson yang berada di hilir.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKK) Kampung Sungai Timun, Ramli Jamian, berkata penggunaan racun tuba memberi kesan jangka panjang kepada udang galah dan pelbagai spesies ikan.


MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (duduk tengah) bersama sebahagian pegawai perikanan dan kepimpinan setempat selepas majlis pelepasan 1.13 juta benih udang galah di Pangkalan Nelayan Sungai Timun Rembau. - Foto Mohd Amin Jalil

"Mereka yang melakukan kerja ini memang mahir kerana tahu jenis racun tuba yang sesuai untuk udang galah. Namun, kesannya menyebabkan kematian udang dalam skala besar, malah menyebabkan benih udang turut mati.

"Untuk jangka masa panjang, tindakan mereka akan mengakibatkan spesies udang galah di sungai ini pupus kerana anak udang tidak sempat membesar dan proses pembiakan tidak berlaku," katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Sungai Timun di sini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Rekreasi Nelayan Kampung Sungai Timun, Azis Salim, berkata mereka belum dapat mengenal pasti identiti pihak yang melakukan perbuatan itu, namun yakin didalangi orang tempatan.

"Hingga kini kami tidak pernah bertemu dengan orang yang melakukan perbuatan ini kerana mereka menjalankan operasi pada waktu tengah malam atau awal pagi, terutama ketika nelayan tidak berada di sungai.

"Tapi kami yakin mereka adalah orang tempatan kerana mahir dengan rangkaian sungai dan anak sungai di sini, selain mengetahui lubuk udang galah yang pastinya tidak diketahui orang luar," katanya.

Beliau berkata, nelayan biasanya hanya menyedari kawasan itu sudah dituba apabila menemui udang galah yang sudah mati timbul dan dihanyutkan arus dalam kuantiti yang banyak.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip, mengakui kegiatan menuba udang galah dan ikan masih berlaku di perairan terbabit dan pihaknya bekerjasama dengan nelayan untuk membuat pemantauan.


MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada majlis pelepasan 1.13 juta ekor benih udang galah di Pangkalan Sungai Timun Rembau. - Foto Mohd Amin Jalil

"Selain itu, Jabatan Perikanan turut memberi tumpuan terhadap usaha menambah benih udang galah yang dilakukan secara berkala untuk memastikan spesies berkenaan tidak pupus, sebaliknya terus membiak.

"Terbaharu, kita melepaskan lebih 1.13 juta benih udang galah di Sungai Timun, sekali gus mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai pelepasan benih udang air tawar paling banyak di negara ini.

"Program ini dapat menambah stok udang galah yang semakin berkurangan di sungai ini, sekali gus memastikan nelayan darat terus mendapat hasil melalui tangkapan udang selain pendapatan sampingan membawa pemancing," katanya.

Info:

  • Penggunaan racun tuba menjadi kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Perikanan, memperuntukkan kompaun, penggantungan lesen atau pembatalan lesen selain didakwa di mahkamah.
  • Udang galah sepit biru Sungai Timun dikatakan paling sedap kerana isinya lebih pejal dan manis, kesan daripada air masin dari laut yang masuk ke sungai itu.
  • Sungai Timun terkenal di kalangan pemancing termasuk dari Lembah Klang dan Melaka yang mencari udang galah.

Fakta nombor:
Pendaratan udang galah di Sungai Timun

  • 2011: 3.52 tan
  • 2015: 0.61 tan
  • RM70/ kilogram - purata harga udang galah ketika ini
Berita Harian X