Sabtu, 12 Ogos 2017 | 5:56pm
DARI kanan: Muhammmad Al Azim, Filzah, Nur Syafiqah dan Nor Kamarul Zaman pada majlis persandingan di Kampung Sungai Putat, Batu Berendam, hari ini. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
ORANG ramai menyaksikan perarakan pengantin di Kampung Sungai Putat, Batu Berendam, hari ini. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
NUR Syafiqah (kanan) dan Filzah (kiri) menunjukkan tempat persandingan yang ditenggelami air di Kampung Sungai Putat, semalam. - Foto Rasul Azli Samad

Persandingan 2 pasangan pengantin 'banjir' meriah

MELAKA: Kegembiraan jelas terpancar di wajah dua beradik yang terbabit tragedi banjir, semalam, apabila majlis persandingan mereka bersama pasangan masing-masing hari ini, berlangsung meriah di Kampung Sungai Putat, Batu Berendam, di sini.

Ia berbeza dengan tragedi semalam, apabila segala persiapan perkahwinan termasuk pelamin dan khemah untuk majlis persandingan Muhammad Al Azim Hamzah, 26; dan Filzah Ghazali, 24; serta adiknya, Nur Syafiqah; 21, dan Nor Kamarul Zaman Kasim, 27, rosak ditenggelami air sedalam kira-kira 0.7 meter.

Kata Muhammad Al Azim, dia bersyukur kerana majlis persandingan mereka di perkarangan rumah saudaranya yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi asal berjalan lancar walaupun kesuntukan waktu serta ruangan agak terhad.

"Ditambah dengan keadaan cuaca panas hari ini, saya cukup bersyukur majlis kami adik beradik berlangsung meriah dan dibantu saudara mara serta jiran tetangga.

"Berbanding semalam (banjir), memang sukar digambarkan dengan kata-kata, selain seharian sibuk memindahkan barang. Mujur hari ini semuanya berjalan lancar," katanya.

Adiknya, Nur Syafiqah, berkata dia bersyukur dan terhutang budi dengan semua pihak terutama penduduk kampung yang bergotong-royong membantu melancarkan majlis persandingan itu.

"Memang rasa letih lagi kerana sejak semalam sibuk menguruskan banjir. Tetapi melihat kehadiran ramai tetamu serta bantuan diterima menambahkan kegembiraan di hari majlis bersejarah saya ini," katanya.

Sementara itu, bapanya, Hamzah Ismail, 57, berkata dia adalah orang yang paling gembira sebaik dapat melihat kedua-dua anaknya bersanding serentak hari ini.

"Walaupun diduga dengan kejadian semalam, majlis persandingan mereka akhirnya berjalan cukup mudah. Saya bersyukur mendapat bantuan pelbagai pihak, termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron yang hadir petang semalam untuk menjenguk nasib kami.

"Selepas selesai majlis ini, barulah fikir untuk membersihkan pula rumah yang ditenggelami air," katanya.

Dalam kejadian banjir kilat semalam, segala persiapan bagi majlis persandingan dua beradik itu bersama pasangan mereka di Kampung Sungai Putat, rosak ditenggelami air sedalam hampir satu meter, susulan hujan lebat berterusan selama kira-kira empat jam bermula jam 2 pagi, semalam.

Hujan lebat yang melanda negeri ini turut menyebabkan ratusan penduduk dipindahkan di sembilan pusat pemindahan di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

Berita Harian X