Rabu, 9 Ogos 2017 | 8:41pm
MENTERI Luar, Datuk Seri Anifah Aman. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
MENTERI Luar, Datuk Seri Anifah Aman. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Mesyuarat JCBC bincang kerjasama Malaysia-Indonesia

PUTRAJAYA: Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala (JCBC) Ke-15 bagi membincangkan perkembangan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia akan berlangsung di Jakarta dari 10 hingga 11 Ogos ini.

Kementerian Luar, dalam satu kenyataan hari ini, berkata delegasi negara yang merangkumi pegawai kanan dari agensi yang berkaitan, akan diketuai Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

"Mesyuarat JCBC ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Luar dan rakan sejawatnya dari Indonesia, Retno LP Marsudi, yang akan membincangkan perkembangan kerjasama hubungan dua hala Malaysia-Indonesia.

"Ia turut menyusul keputusan yang dicapai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo, semasa Rundingan Tahunan Ke-11 di Jakarta tahun lalu. Mesyuarat JCBC Ke-14 diadakan di Kuala Lumpur pada 9 hingga 10 Oktober 2015," katanya.

JCBC akan didahului dengan Mesyuarat Peringkat Pegawai Kanan diikuti dengan Mesyuarat Peringkat Menteri, antara isu yang dijangka dibincangkan adalah berkaitan perkembangan terkini persempadanan maritim dan darat, kebajikan nelayan, tenaga kerja Indonesia, perdagangan dan pelaburan serta isu lain berkepentingan bersama.

Penganjuran Mesyuarat JCBC Ke-15 pada tahun ini juga seiring dengan sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia, di mana kedua-dua negara meraikan hubungan erat yang sekian lama terjalin.

Berita Harian X