Ahad, 30 Julai 2017 | 12:10am
APMM Sarawak sentiasa menjalankan pemantauan bagi mengawasi kegiatan nelayan asing di gugusan terumbu karang Lorcania. - Foto Kandau Sidi
MENTERI Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin. - Foto Kandau Sidi

'Jangan biarkan Taman Laut hanya tinggal nama'

MIRI: Kawasan Taman Laut, termasuk terumbu karang yang menjadi aset pelancongan bernilai di negeri ini pasti hanya tinggal nama jika kegiatan pencerobohan dan penangkapan ikan secara haram oleh nelayan asing gagal dikekang.

Justeru, tindakan lebih keras perlu diambil bagi melindungi aset berkenaan, selain pengajaran kepada nelayan asing supaya menghormati undang-undang dan peraturan dikuatkuasakan di negara ini.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, berkata Taman Laut Miri - Sibuti dan kawasan sekitarnya kini semakin popular dalam kalangan pelancong asing, terutama peminat aktiviti skuba.

"Begitu juga dalam kalangan kaki pancing di Gugusan Terumbu Karang Lucornia, yang terletak lebih 100 batu nautika dari bandar raya Miri. Namun, ini semua hanya akan tinggal nama jika isu pencerobohan nelayan asing tidak ditangani sepenuhnya," katanya.


SEBAHAGIAN penyelam yang mengambil bahagian membersihkan terumbu karang Patricia di perairan Bintulu. - Foto Kandau Sidi

PENYELAM melakukan persiapan untuk membersihkan terumbu karang Patricia di perairan Bintulu. - Foto Kandau Sidi

Beliau berkata, kesan kemusnahan akibat aktiviti pencerobohan nelayan asing memberi kesan kepada hidupan marin di Sarawak seperti nasib menimpa Lucornia sebelum ini.

"Sekarang, ramai peminat aktiviti skuba dari negara luar seperti Eropah dan pemancing dari China datang ke Sarawak, kerana tertarik dengan khazanah lautnya yang unik dan begitu kaya dengan pelbagai spesies ikan.

"Kekayaan sumber ikan ini yang mendorong nelayan asing berkenaan sanggup menceroboh perairan negeri ini tanpa takut dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata, nelayan asing mampu meraih keuntungan ratusan ribu ringgit dengan hasil ikan yang memiliki nilai komersial tinggi jika berjaya menangkap ikan di perairan Sarawak dan terlepas daripada ditangkap.


TUKUN tiruan ditanam di Taman Laut Miri-Sibuti untuk meningkatkan populasi ikan di kawasan berkenaan. - Foto Kandau Sidi

Katanya, nelayan asing itu sanggup menggunakan pelbagai helah untuk melepaskan diri daripada dikenakan tindakan.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Pemancing Miri, Aaron Abel Donald, berkata kekayaan sumber ikan di perairan Sarawak mendorong berlaku pencerobohan nelayan asing.

"Misalnya, setiap kali dianjurkan pertandingan memancing laut dalam di Miri, ramai pelancong China, Singapura, Brunei dan Thailand datang untuk menyertainya.

"Mereka datang ke Sarawak kerana perairan terumbu karang di Lucornia terkenal dengan pelbagai spesies ikan bersaiz mega seperti kerapu, ikan merah, ikan layar dan sebagainya," katanya.

Jika aktiviti pencerobohan nelayan asing tidak dibendung, katanya, Sarawak akan kehilangan khazanah laut yang menguntungkan penduduk tempatan dari aspek pelancongan.

INFO

- Lebih 500 tukun bebola tiruan ditanam di Taman Laut Miri-Sibuti.

gn4id:21870402

Berita Harian X