Jumaat, 28 Julai 2017 | 11:21am

Antibiotik perlu ikut preskripsi betul

Kuala Lumpur: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menegaskan pengambilan antibiotik mesti mengikut preskripsi yang betul bagi mengelakkan berlakunya bakteria yang membawa penyakit lali kepada ubat itu.

Presiden MMA, Dr Ravindran R Naidu, berkata penggunaan antibiotik secara tidak betul dan tidak rasional boleh menyebabkan munculnya mikroorganisme yang kebal.

Beliau berkata, doktor harus memainkan peranan dengan memberi preskripsi antibiotik secara betul dan memulakan rawatan dengan antibiotik kelas lebih rendah untuk mengelakkan masalah penyakit lali kepada antibiotik.

Risiko bakteria bermutasi

"Pemberian dan pengambilan antibiotik yang tidak menepati kaedah sebenar boleh menyebabkan bakteria yang mengakibatkan penyakit, bermutasi.

"Keadaan ini dikenali dalam dunia perubatan sebagai Rintangan Antimikrob (AMR). AMR merujuk kepada kekebalan sesuatu mikroorganisme terhadap sesuatu agen antimikrob yang sebelumnya begitu sensitif terhadap antimikrob itu.

"Organisme perintang (bakteria, virus dan sesetengah parasit) mampu bertahan terhadap tindakan antimikrob seperti antibiotik dan antivirus yang menjadikan rawatan standard tidak berkesan.

"Akibatnya, penyakit tidak pulih dan boleh merebak kepada orang lain," katanya kepada BH, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sekumpulan penyelidik Barat yang mencadangkan supaya amalan menghabiskan antibiotik dihentikan kerana ia adalah antara punca masalah peningkatan rintangan kepada ubat itu.

Didik, ubah sikap orang ramai

Pasukan itu dalam jurnal perubatannya memaklumkan bahawa punca lali kepada antibiotik adalah disebabkan penggunaannya secara berlebihan, berbanding jika dihentikan pengambilannya lebih awal.

Dr Ravindran mencadangkan pendidikan dan mengubah sikap orang ramai mengenai penggunaan antibiotik adalah antara langkah yang boleh memulihara keberkesanan ubat itu.

"Tanya doktor mengenai punca jangkitan penyakit anda. Jangan minta antibiotik setiap kali rasa demam dan selesema.

"Ambil antibiotik mengikut jadual yang ditetapkan doktor. Pengambilan sebahagian antibiotik hanya membunuh bakteria yang lemah, tetapi membenarkan bakteria lain membiak dan menjadi lali kepada ubat itu," katanya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam Hospital Columbia Asia, Dr Hanafiah Bashirun pula berkata, antibiotik hanya berkesan untuk mengubati penyakit disebabkan bakteria.

Beliau berkata, tanggapan orang ramai bahawa antibiotik berkesan untuk semua penyakit perlu diubah kerana penggunaannya secara tidak betul boleh menyebabkan daya tahan penyakit terhadap ubat itu meningkat.

Berita Harian X