Selasa, 25 Julai 2017 | 8:05pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (tiga kiri); Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (dua kiri); Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tiga kanan); Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak (kanan); Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri FD Iskandar (empat kiri); Pengerusi NSTP, Tan Sri Ismail Omar (kiri); Pengarah Urusan MPB, Datuk Seri Amrin Awaluddin (dua kanan) dan Ahli Lembaga Pengarah MPB, Tan Sri Ismee Ismail (empat kanan) hadir pada Rumah Terbuka Media Prima Berhad (MPB) di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Lebih 5,000 meriahkan Rumah Terbuka MPB

KUALA LUMPUR: Rumah Terbuka Media Prima Berhad (MPB) hari ini dimeriahkan dengan kehadiran lebih 5,000 tetamu.

Majlis yang diadakan di Hotel Hilton di sini, turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa menteri Kabinet, termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Selain itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Majlis itu turut dihadiri pengurusan kanan MPB, antaranya Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri FD Iskandar; Pengarah Urusan MPB, Datuk Seri Amrin Awaluddin; Ahli Lembaga Pengarah MPB, Tan Sri Ismee Ismail.

Selain itu, Pengerusi New Straits Times Press Berhad (NSTP) Tan Sri Ismail Omar, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.


ANTARA tetamu yang hadir pada Rumah Terbuka Media Prima Berhad (MPB) di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

Sementara itu, FD Iskandar ketika ditemui berkata, kemeriahan majlis yang dihadiri pemegang taruh, rakan media, pelanggan serta menteri Kabinet itu menunjukkan keyakinan mereka terhadap MPB dan NSTP.

Beliau yang akan menamatkan tugasnya sebagai Pengerusi Kumpulan MPB hujung bulan ini, turut mengambil kesempatan melahirkan penghargaan serta rasa gembiranya sepanjang lapan tahun berkhidmat dengan syarikat media berintegrasi negara itu.

"Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada semua, terutamanya pengurusan serta kakitangan, khususnya wartawan yang memainkan peranan penting dalam mengekal dan menjadikan MPB seperti hari ini.

"Ya, kita menghadapi pelbagai cabaran, termasuklah fasa pendigitalan, namun perkara lebih penting adalah kandungan ditawarkan MPB. Saya yakin kita mampu mengharunginya.

"Kami sudah melaksanakan beberapa perancangan sebelum meninggalkan syarikat dan yakin MPB berada pada posisi yang kukuh. Saya ucapkan selamat maju jaya pada semua pengurusan dan kakitangan MPB," katanya.

Berita Harian X