Selasa, 25 Julai 2017 | 5:44pm

Tiada keperluan pinda akta pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk meminda Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA) atau dikenali Akta 613, buat masa ini.

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis berkata, ini kerana pindaan baru sahaja dibuat di Parlimen pada tahun 2014 dan berkuat kuasa pada 1 September 2014.

"Matlamat pindaan tersebut antara lain adalah untuk memperkukuhkan langkah-langkah penguatkuasaan dan kuasa penyiasatan agensi penguat kuasa, sekali gus dapat meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh semua agensi terlibat.

"Selain itu, kesalahan berat yang disenaraikan di dalam Jadual Kedua AMLATFA sentiasa diteliti dan disemak serta ditambah dari semasa ke semasa berdasarkan kepada keperluan, selaras komitmen kerajaan memastikan ia menepati piawaian antarabangsa bagi memenuhi keperluan agensi penguatkuasa pada setiap masa.

"Setakat ini, terdapat 398 kesalahan berat daripada 48 akta perundangan yang telah disenaraikan di bawah jadual tersebut," kata kementerian dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ia bagi menjawab soalan lisan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang meminta kementerian menyatakan hasrat kerajaan meminda Akta 63 dalam memperkukuhkan institusi kewangan negara dan jumlah kes pengubahan wang haram membabitkan syarikat Malaysia, bilangan kertas siasatan yang dibuka serta tindakan diambil dari tahun 2010 hingga Mei 2017.

Kenyataan itu turut menyebut mengenai jumlah kertas siasatan yang dibuka, di mana sebanyak 1,043 kes sudah dibuka di bawah AMLATFA bagi tahun 2013 sehingga 2016.

Dari jumlah itu, 145 kes sudah dibawa ke mahkamah.

"Kes-kes kesalahan pengubahan wang haram membabitkan pelbagai agensi dan ia tertakluk di bawah AMLATFA.

"Agensi yang terbabit adalah seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Agensi Penguatkuasaan Labuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Berita Harian X