Isnin, 26 Jun 2017 | 11:00am

Aidilfitri di Masjidil Haram tetap meriah

RAJA Suhaimi (tiga dari kiri) bersama jemaah Malaysia menyambut Aidilfitri di Makkah. - Foto ihsan Facebook Raja Suhaimi
RAJA Suhaimi (tiga dari kiri) bersama jemaah Malaysia menyambut Aidilfitri di Makkah. - Foto ihsan Facebook Raja Suhaimi

KUALA LUMPUR: Insiden pengebom meletupkan diri berhampiran Masjidil Haram di Makkah pada Jumaat lalu, tidak menjejaskan jemaah negara ini melaksanakan umrah dan menyambut Aidilfitri di sana.

Malah, keadaan di Masjidil Haram dilaporkan terkawal dan umat Islam di seluruh dunia meneruskan ibadat seperti biasa.

Mutawwif dari Malaysia, Raja Muhammad Suhaimi Raja Chulan, 29, berkata walaupun insiden letupan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan jemaah Malaysia, ia tidak menghalang mereka meneruskan fokus beribadat.

"Kejadian letupan dilaporkan berlaku kira-kira dua kilometer (km) dari Masjidil Haram, maka ia tidak menjejaskan kami meneruskan umrah dan sambutan Aidilfitri.

"Suasana ibadat  di Masjidil Haram berjalan seperti biasa dan kawalan tentera dipertingkatkan.

"Kami turut menyambut lebaran bersama dalam suasana kekeluargaan," katanya ketika dihubungi BH Online menerusi aplikasi Facebook, hari ini.

Raja Muhammad berkata, seramai 92 jemaah dari Malaysia bersamanya menunaikan umrah dan menyambut Aidilfitri di kota suci itu.

"Kami tiba di Madinah pada 19 Jun lalu sebelum masuk ke Makkah empat hari kemudian.

"Kami akan bertolak pulang pada 30 Jun ini," katanya.

Jumaat lalu, sekurang-kurangnya 11 orang termasuk enam jemaah umrah asing cedera selepas seorang pengebom nekad yang menyasarkan kota suci Makkah meletupkan dirinya.

Insiden berlaku di sekitar Masjidil Haram, ketika ribuan jemaah berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat terakhir Ramadan tahun ini.

Berita Harian X