Ahad, 11 Jun 2017 | 1:35pm

KPT sedia bantu Taman Ilmu

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. - Foto Hafiz Sohaimi
MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. - Foto Hafiz Sohaimi

JERTIH: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedia membantu kerajaan negeri menyelesaikan masalah pembinaan projek Taman Ilmu di Tembila, di sini, yang terbengkalai sejak 2004.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata kementerian akan berusaha menyelesaikan isu itu bagi memastikan pusat pendidikan bertaraf antarabangsa itu dapat beroperasi dan dimanfaatkan untuk pembangunan pendidikan.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, Ketua Setiausaha KPT, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur sudah melawat Taman Ilmu semalam, bagi meninjau keadaannya dan merangka tindakan yang boleh diambil bagi menyelesaikan masalah itu.

Bagaimanapun Idris berkata, beliau tidak dapat mengulas panjang mengenai projek itu kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"KPT hanya akan membantu dalam beberapa aspek keperluan sahaja dan pengumuman sepenuhnya akan dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ahmad Razif sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan negeri sedang mengadakan perbincangan dengan KPT bagi memastikan pusat kecemerlangan ilmu bertaraf antarabangsa itu dapat beroperasi tidak lama lagi.

Taman Ilmu dalam projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dibangunkan sejak 2004 membabitkan kawasan seluas 280 hektar bernilai kira-kira RM300 juta adalah projek perkongsian kemudahan pendidikan asas yang mampu menampung perjalanan enam institusi pengajian tinggi (IPT) dan diilhamkan oleh Idris sendiri.

Berita Harian X