Isnin, 5 Jun 2017 | 4:55pm

Dana KWAP diunjur berkembang RM500 bilion

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada Majlis Sambutan 10 tahun Dana Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan perasmian pejabat baharu KWAP di Menara Integra, hari ini. - Foto Yazit Razali
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada Majlis Sambutan 10 tahun Dana Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan perasmian pejabat baharu KWAP di Menara Integra, hari ini. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Dana Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mampu mencecah sehingga RM500 bilion menjelang 2050, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, saiz dana KWAP berkembang dari RM42 bilion pada 2007 kepada RM125 bilion pada Disember lalu iaitu peningkatan sebanyak 200 peratus.

"Sesungguhnya KWAP akan terus melakar prestasi cemerlang sebagai organisasi berprestasi tinggi.

"Saya difahamkan KWAP yakin dengan pertumbuhan antara lapan hingga 10 peratus setahun, dana KWAP akan berjaya mencapai angka RM500 bilion pada 2050. Saya percaya unjuran ini akan dicapai, insya-Allah," katanya ketika merasmikan majlis Sambutan 10 tahun KWAP dan perasmian pejabat utama KWAP di Menara Integra, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi KWAP, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut merasmikan aplikasi telefon pintar, MyPesara dan menandatangani plak bangunan Menara Integra.

Najib berkata, daripada RM125 bilion, RM53.6 bilion adalah hasil daripada penjanaan pendapatan pelaburan yang akan digunakan untuk membiayai liabiliti pencen.

Beliau berkata, ia adalah satu sumbangan KWAP terhadap negara dan pesara.

"KWAP juga mencatat pulangan kasar purata pelaburan sebanyak 6.5 peratus dalam tempoh 10 tahun ini.

"Meskipun prospek global adalah tidak menentu, dengan cabaran luaran dalam pelaburan dan iklim ekonomi dalam tahun kebelakangan ini, saya percaya KWAP akan terus menunjukkan prestasi kewangan yang positif lagi konsisten seperti yang dicapai setakat ini," katanya.

Tanggungjawab KWAP meliputi 1.6 juta penjawat awam dan 700,000 pesara.

Ditubuhkan sebagai Kumpulan Wang Amanah Pencen pada 1991, dana persaraan itu beroperasi dengan dana bernilai RM500 juta dan jumlah itu meningkat ke RM42 bilion apabila ia diperbadankan pada 2007.

Dana persaraan kedua terbesar itu memiliki pelaburan di peringkat global iaitu tujuh hartanah di Australia, dua di United Kingdom dan satu di Jerman.

Aplikasi MyPesara adalah kerjasana KWAP dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi tujuan memudahkan bakal pesara dan pesara meneliti antaranya status pencen, pembayaran pencen.

Berita Harian X