Selasa, 23 Mei 2017 | 8:28pm

Speaker DUN tegur EXCO, ADUN DAP `hilang'

DATUK Law Choo Kiang. - Foto Danial Saad
DATUK Law Choo Kiang. - Foto Danial Saad

GEORGETOWN: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang menegur 10 EXCO kerajaan negeri pimpinan DAP yang gagal menghadiri sesi perbahasan petang tadi.

Choo Kiang yang menyedari separuh daripada kerusi dalam DUN Pulau Pinang itu kosong turut menegur beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) penyokong kerajaan yang gagal menyertai sesi perbahasan berkenaan.

"Kalau ada mana-mana EXCO yang berada di kafetaria atau di luar dewan, sila masuk bagi menghormati persidangan kali ini bagi memastikannya berjalan lancar," katanya dalam nada sinis.

Teguran itu dibuat Choo Kiang sejurus sesi perbahasan Teh Yee Cheu (DAP-Tanjung Bungah) mengenai isu alam sekitar, tamat, kira-kira jam 6 petang.

Terdahulu, Datuk Muhamad Farid Saad (BN - Pulau Betong) turut mempertikaikan 'kehilangan' lebih separuh daripada EXCO kerajaan DAP Pulau Pinang ketika sesi perbahasan.

Muhamad Farid berkata, 'kehilangan' EXCO dan ADUN kerajaan negeri itu mencetuskan persoalan kerana mereka sepatutnya turut membincangkan isu rakyat yang dibangkitkan, sekali gus menyebabkan korum DUN tidak mencukupi.

"Saya mahu bercakap dengan manusia bukan dengan kerusi. Apa guna kalau kita bangkitkan usul hari ini, tetapi hanya bercakap dengan kerusi dan ini menunjukkan sikap tidak serius kerajaan negeri," katanya.

Sidang DUN pada sesi petang, hanya dihadiri beberapa wakil rakyat kerajaan negeri, termasuk EXCO Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng.

Difahamkan, sebahagian daripada EXCO beredar daripada DUN untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Holdings Bhd yang berlangsung di sebuah hotel di Bukit Jambul, tengah hari tadi.

Berita Harian X