Sabtu, 29 April 2017 | 8:53pm

MARA laksana program pendidikan fleksibel

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media selepas Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto NSTP
MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media selepas Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto NSTP

PUTRAJAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memperkenalkan  program pendidikan fleksibel di institusi pendidikan kendaliannya mulai tahun depan, bagi meningkatkan akses pendidikan dalam kalangan masyarakat Bumiputera. 

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata program itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama antara institusi pendidikan di bawah MARA dengan institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

"Menggunakan Konsep 3C 2U, pelajar akan mengikuti pengajian selama tiga tahun di kolej dan dua tahun di universiti.

"Maksudnya, dalam tempoh tiga tahun pertama, pelajar mengikuti pengajian peringkat asasi selama setahun di kolej MARA dan dua tahun pertama pengajian ijazah dilaksanakan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) atau Kolej Profesional MARA (KPM).

"Seterusnya, baki dua tahun tempoh pengajian lagi akan dilaksanakan sama ada di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti MARA, Kolej Universiti Poly-Tech MARA, universiti tempatan atau universiti luar negara," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) 2017, di sini, hari ini.

Seramai 6,763 graduan daripada pelbagai bidang menerima diploma dan sijil pada majlis konvokesyen perdana merangkumi empat kolej itu iaitu KKTM, KPM, Institut Kemahiran MARA dan MARA Japan Industrial Institute (MJII).

Ismail Sabri turut mengumumkan 220 pelajar terbaik pada Konvokesyen Perdana IPMA 2017 akan ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di luar negara di bawah tajaan MARA, melalui program berkembar, mobiliti atau latihan amali. 

"Mereka akan ditawarkan pengajian ke 20 universiti terbaik dunia seperti di Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

"Diharap pengumuman ini akan menyuntik semangat pelajar lain untuk mencipta kecemerlangan, seterusnya membuka laluan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya. 

Beliau berkata, MARA secara tahunan menaja kira-kira 1,000 pelajar menyambung pengajian ke luar negara membabitkan peruntukan sebanyak RM2 bilion yang diperuntukkan kerajaan kepada MARA untuk bidang pendidikan. 

"Ini sekali gus menyangkal dakwaan bahawa MARA tidak mempunyai wang dan mengurangkan peruntukan untuk pendidikan.

"MARA juga bersetuju untuk memberi geran keusahawanan berjumlah RM20,000, khas kepada 10 syarikat graduan institusi pendidikan MARA, yang menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam bidang perniagaan yang mereka ceburi. 

"Syarikat ini juga akan diberi keutamaan untuk akses pada fasiliti dan kemudahan keusahawanan lain yang disediakan MARA seperti pinjaman perniagaan, sewaan premis dan khidmat nasihat," katanya. 

INFO

# 1,300 syarikat graduan MARA berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 201,6 dengan pulangan keuntungan RM5 juta dan jumlah terkumpul untuk tiga bulan pertama tahun ini adalah lebih RM453,283.

Berita Harian X