Sabtu, 29 April 2017 | 12:47pm

MARA laksana program pendidikan fleksibel 2018

PUTRAJAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melaksanakan program pendidikan fleksibel di bawah institusi pendidikannya bermula tahun depan bagi meningkatkan akses pendidikan dalam kalangan masyarakat Bumiputera.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program pendidikan fleksibel ini akan dilaksanakan melalui kerjasama antara institusi pendidikan MARA, institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

"Dengan membawa Konsep 3C 2U, pelajar akan mengikuti pengajian selama tiga tahun di kolej dan dua tahun di universiti.

"Dalam tempoh tiga tahun pertama, pelajar akan mengikuti pengajian di peringkat asasi selama setahun di kolej MARA dan dua tahun pertama pengajian ijazah dilaksanakan di Kolej Profesional MARA atau Kolej Kemahiran Tinggi MARA.

"Seterusnya dua tahun tempoh pengajian lagi akan dilaksanakan sama ada di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti MARA, Kolej Universiti Poly-Tech MARA, universiti tempatan atau universiti luar negara," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) 2017 di sini hari ini.

Seramai 6,763 graduan daripada pelbagai bidang menerima diploma dan sijil pada majlis konvokesyen merangkumi empat kolej itu iaitu KKTM, KPM, Institut Kemahiran MARA dan MARA Japan Industrial Institute (MJII).

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan MARA akan menaja 220 pelajar terbaik pada konvokesyen IPMA 2017 untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di luar negara melalui program berkembar, mobiliti atau latihan amali mengikut dasar program penganjuran pelajaran sedia ada.

Berita Harian X