Jumaat, 28 April 2017 | 8:25pm
PEMENANG kategori Kurang Upaya Penglihatan Lelaki, Nik Muhammad Ahnaf Rujhiee Raja Anuar menunjukkan replika cek dan sijil pada Majlis Anugerah Nilam Peringkat Kebangsaan 2017 di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon bersama pemenang pada Majlis Anugerah Nilam Peringkat Kebangsaan 2017 di PWTC, Kuala Lumpur. Turut sama Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan, Zaidi Yazid dan Pengarah Urusetia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Abd Wahab Ibrahim. - Foto Syarafiq Abd Samad

Murid buta menang Anugerah NILAM Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Nik Muhamad Ahnaf Rujhiee Raja Anuar, 12, yang cacat penglihatan tetap bersemangat untuk meneruskan minat membaca, sehingga diumumkan sebagai penerima Anugerah Nilam Kebangsaan 2017 (Kategori Kurang Upaya Penglihatan Lelaki).

Dia yang mengalami masalah itu sejak berusia enam tahun akibat demam panas, dipilih menerima anugerah terbabit selepas membaca 150 buah buku sejak di Tahun Empat.

Murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu di ibu negara itu berkata, ketika di Tahun Satu, dia mengambil masa tiga bulan mempelajari kaedah pembacaan Braille.

Katanya, dia membaca sejak berumur empat tahun, hasil tunjuk ajar ibunya. '

"Minat ini semakin menebal dalam diri saya, jadi walaupun tidak mampu melihat langsung, saya tetap mahu membaca kerana banyak pengetahuan yang diperoleh.

"Biasanya saya akan membaca buku ketika waktu rehat, menunggu ayah mengambil saya selepas sekolah atau pada waktu malam," kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Dia ditemui sempena Anugerah NILAM Peringkat Kebangsaan 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Selain Nik Muhamad Ahnaf Rujhiee, lima pelajar pendidikan khas turut menerima anugerah terbabit, iaitu Nur Qasrina Batrisya Qaidil Azam bagi kategori Kurang Upaya Penglihatan Perempuan, Muhammad Izzuddin Abdullah (Kurang Upaya Pendengaran Lelaki) dan Chong Shu Qin (Kurang Upaya Pendengaran Perempuan).

Dua pelajar lain adalah Ahmad Nurazim Nasri dan Nurfitri Rashidi, masing-masing bagi kategori Masalah Pembelajaran Lelaki dan Perempuan.

Kejayaan itu melayakkan mereka menerima hadiah wang tunai RM1,000, tablet, piala dan sijil.

Seramai 64 pelajar dari 64 buah sekolah di seluruh negara terpilih ke pertandingan peringkat kebangsaan yang menyaksikan lima kategori dipertandingkan, iaitu Sekolah Rendah Bahasa Melayu, Sekolah Rendah Bahasa Inggeris, Sekolah Menengah Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Bahasa Inggeris dan Pendidikan Khas.

Anugerah disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon.

Berita Harian X