Khamis, 20 April 2017 | 11:19am

Sultan Nazrin rasmi SMK Kampong Perak

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berangkat hadir di Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Perak, Batu Kurau. - Foto Muhaizan Yahya
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berangkat hadir di Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Perak, Batu Kurau. - Foto Muhaizan Yahya

TAIPING: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Perak di Batu Kurau, dekat sini, sebentar tadi.

Pembinaan SMK Kampong Perak, yang bernilai RM36 juta dimulakan pada 20 Januari 2011.

Majlis pecah tanah pembinaan disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada 19 Jun 2011.

Sekolah yang dibina di atas tanah seluas 10.6 hektar itu memiliki 22 kelas dengan menempatkan 537 pelajar dan 49 guru sejak beroperasi 1 Oktober 2013.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Yang turut hadir, Zambry; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Sultan Nazrin kemudian berkenaan berangkat menghadiri Majlis Santapan Diraja dan Jamuan Rakyat, yang diadakan di padang sekolah berkenaan.

Berita Harian X