Rabu, 12 April 2017 | 3:55pm

90 peratus peniaga gagal patuhi GPL

PENGARAH Bahagian (Cawangan Penguatkuasaan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Mohd Nawawi Harun (kiri) bersama Pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memeriksa harga, pembungkusan dan pelabelan di Pasar Chow Kit hari ini. - Foto BERNAMA
PENGARAH Bahagian (Cawangan Penguatkuasaan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Mohd Nawawi Harun (kiri) bersama Pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memeriksa harga, pembungkusan dan pelabelan di Pasar Chow Kit hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kira-kira 90 peratus peniaga sayur-sayuran dan buah-buahan di Pasar Awam Chow Kit, di sini, didapati gagal mematuhi peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan Keluaran Pertanian (GPL) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Perkara itu dikesan dalam operasi bersepadu penguatkuasaan GPL membabitkan FAMA, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Imigresen dan Polis, bertujuan memastikan peniaga mempamerkan label jualan yang betul dan tidak mengelirukan pembeli.

Pengarah Bahagian Cawangan Penguatkuasa FAMA, Mohd Nawawi Harun, berkata rata-rata peniaga memberi alasan tidak mengetahui dan tidak faham cara untuk melabel.

"Hampir semua 250 peniaga sayuran dan buah-buahan di pasar ini memberi alasan tidak tahu cara sebenar untuk mempamerkan label produk mereka.

"Melalui operasi hari ini, FAMA dan agensi berkaitan mengedarkan notis pemberitahuan peraturan GPL selain penerangan daripada pegawai FAMA kepada setiap peniaga berhubung kaedah mengguna dan penulisan label dengan betul," katanya pada sidang media selepas operasi itu di Pasar Awam Chow Kit, di sini, hari ini.

Mohd Nawawi berkata, label produk yang ditetapkan FAMA mesti mempamerkan nama komoditi, gred, saiz, tempat atau negara asal produk serta harga bagi produk dijual.

"Kami dapati ada peniaga yang mempamerkan nama produk yang salah mengikut harga sebenar. Akibat salah label nama komoditi, harga dipamerkan mungkin lebih murah atau mahal daripada harga sebenar," katanya.

Mengikut Akta 141 (1965), denda RM1,000 bagi setiap item produk akan dikenakan kepada peniaga jika masih berdegil dan tidak mempamerkan label produk seperti ditetapkan FAMA.

Dalam operasi itu, penguat kuasa DBKL turut mengambil sampel sayur-sayuran, buah-buahan dan barang runcit lain untuk dibawa ke makmal bagi saringan baki sisa racun.

Operasi bersepadu itu turut meliputi aspek kawalan harga serta keselamatan dan kebersihan produk dan akan diadakan secara berterusan serta menyeluruh di seluruh negara. 

Berita Harian X